Utusan Borneo (Sabah)

Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung kini diedar kepada rakyat

-

PUTRAJAYA: Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung kini dalam proses pengedaran kepada setiap rakyat secara percuma di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak empat keping penutup muka akan diagihkan kepada setiap isi rumah.

Beliau berkata tugas pengedaran akan diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada Majlis Keselamata­n Negeri, sebelum diedar ke daerah-daerah melalui Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Daerah.

“Dari sini ia akan diagih rumah ke rumah oleh petugas barisan hadapan di daerah.

“Untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia akan dihantar melalui penerbanga­n khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada Jumaat ini, selepas itu akan diagih ke peringkat daerah dan seterusnya ke rumah-rumah,” katanya pada sidang media hariannya di sini, semalam.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata ada daerah telah pun menerima penutup mulut dan hidung dan pengedaran­nya dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat.

Beliau turut menasihatk­an hanya mereka yang bergejala perlu memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar dari rumah seperti yang disarankan oleh Kementeria­n Kesihatan (KKM).

Pada masa yang sama Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa kesemua penutup yang diagihkan itu, dibeli oleh kerajaan dan bukannya disumbangk­an oleh mana-mana negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumka­n pemberian penutup mulut dan hidung secara percuma kepada rakyat di negara ini berikutan permintaan yang tinggi sehingga sukar untuk mendapatka­nnya di pasaran.

Berikutan itu, kerajaan mengimport sebanyak 10 juta penutup itu untuk diagihkan kepada rakyat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia