Utusan Borneo (Sabah)

Peniaga lepas gian main golf di ‘Kelab Golf Atan’

-

PEKAN: Tidak dapat meneruskan rutin mingguan beraksi di padang golf, ekoran penutupan semua kelab golf semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memaksa seorang peniaga di sini membuka ‘kelab golf’ sendiri, untuk melepaskan giannya terhadap sukan itu.

Ainnudin Mohd Ghazali, 30, berkata, walaupun baharu setahun berjinak-jinak dalam sukan itu secara serius, namun berkunjung ke kelab golf telah menjadi rutin hujung minggunya, menyebabka­n beliau berasa ‘kosong’ apabila terlalu lama terperap di rumah.

“Dua minggu pertama masih boleh bertahan, namun apabila PKP dilanjutka­n ke fasa kedua awal bulan ini, rasa gian hendak memukul bola golf semakin kuat. Lebih-lebih lagi apabila terpandang set kayu golf yang sudah lama tidak berusik.

“Tidak boleh tidak, saya gali saja lubang di halaman rumah... walaupun hanya dapat ‘padang tiga lubang’ dalam kondisi rumput tidak secantik kelab golf, namun ia sudah cukup menggembir­akan,” katanya semasa ditemui Bernama, di rumahnya di Kampung Ubai di sini, semalam.

Ainnudin yang dikenali sebagai Atan dalam kalangan keluarga berkata, beliau hanya menggunaka­n pencakar rumput sebagai pengganti tiang bendera, sekali gus menjelaska­n mengapa pencakar berwarna merah terpacak di tengah-tengah halaman rumah.

Walaupun diusik adik-beradik yang lain semasa mula menggali lubang, Ainnudin berkata mereka kini turut menyertain­ya beriadah di ‘kelab golf’ itu mulai jam 5 petang, kerana tidak mempunyai aktiviti lain untuk dilakukan.

“Yang tidak pernah pegang kayu golf sebelum ini pun sudah pandai, akibat PKP. Bagus juga ada ‘padang golf’ buatan sendiri (DIY) ini. Sekurang-kurangnya kami semua dapat beriadah, tanpa mengingkar­i arahan pihak berkuasa kerana masih berada di rumah.

“Cuma, kami perlu berhati-hati supaya tidak memukul dengan terlalu kuat, kerana bimbang bola keluar pagar atau masuk ke kawasan semak, memandangk­an stok bola terhad. Hendak dibeli, kelab dan kedai golf tidak beroperasi akibat PKP,” katanya.

Ainnudin mengakui padang golf DIY itu walaupun serba kekurangan, namun amat istimewa buat dirinya kerana membolehka­n sukan kegemarann­ya mengeratka­n hubungan mereka sekeluarga, apabila saling usik-mengusik semasa beriadah.

Selain itu, beliau juga menyifatka­n bermain golf sambil mencium bau ayam dan lembu, adalah pengalaman tidak boleh dialami di mana-mana kelab golf, memandangk­an kandang ternakan yang diusahakan keluargany­a, terletak bersebelah­an rumah mereka.

PKP dilaksanak­an mulai 18 Mac lalu dan dijadualka­n tamat pada 14 April ini, menyebabka­n orang ramai perlu duduk di rumah jika tiada urusan penting, sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? LEPAS GIAN: Ainnudin melepaskan kerinduan untuk bermain golf di kawasan lapang di ladang ternakan ayam dan rumahnya di Kampung Ubai, Pekan semalam.
— Gambar Bernama LEPAS GIAN: Ainnudin melepaskan kerinduan untuk bermain golf di kawasan lapang di ladang ternakan ayam dan rumahnya di Kampung Ubai, Pekan semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia