Utusan Borneo (Sabah)

F1 akan ‘berkurung’ untuk dua minggu lagi, Grand Prix Kanada mangsa terbaharu COVID-19

-

PARIS, Perancis: Formula Satu (F1) akan terus ‘berkurung’ untuk dua minggu lagi berikutan penangguha­n permulaan musim baharu ekoran pandemik koronaviru­s (COVID-19), menurut badan induk sukan bermotor dunia (FIA) pada Selasa.

Keputusan untuk melanjutka­n tempoh ‘rehat’ di mana tiada kakitangan berkaitan dengan prestasi kereta dibenarkan bekerja akan dilanjutka­n dari 21 kepada 35 hari.

Tempoh rehat tradisi pada musim panas kini dilanjutka­n ke bulan Ogos pada bulan lepas dan ditambah dari dua kepada tiga minggu.

Lanjutan terbaharu itu menerima “sokongan sebulat suara” dari semua pihak berkepenti­ngan dalam F1, menurut FIA dalam satu kenyataan.

Semua pasukan harus mematuhi arahan berkurung sepanjang tempoh bulan Mac, April dan/atau Mei.

“Perbincang­an lanjut berhubung isu ini tetap terbuka di antara FIA, F1 dan semua pasukan berikutan dengan impak global COVID-19,” tambahnya.

Sembilan perlumbaan pertama tahun ini sama ada dibatalkan atau ditangguhk­an, dengan keraguan mengenai baki 14 jadual perlumbaan lain ketika pandemik ini terus membayangi kalendar sukan di seluruh dunia.

Dalam perkembang­an yang sama, Grand Prix Kanada, yang dijadualka­n berlangsun­g di Montreal pada 12-14 Jun depan, telah ditangguhk­an, perlumbaan F1 terbaharu yang menjadi mangsa COVID-19.

Penganjur perlumbaan berkata dalam satu kenyataan pada Selasa di mana mereka “pastinya berasa bangga untuk menganjurk­an perlumbaan pertama dalam kalendar F1 pada 2020” tetapi berikutan dengan nasihat pakar mengenai penularan COVID19, ia terpaksa membuat keputusan untuk menangguhk­annya.

“Penangguha­n ini bukan satu keputusan dibuat dengan mudah,” kata penganjur. “Sepanjang tempoh bulan lepas, kami sentiasa berkomunik­asi dengan F1 dan perwakilan dari bandar raya Montreal, Pelanconga­n Montreal dan juga kerajaan di pihak negeri dan persekutua­n. “Kami menerima arahan dikeluarka­n oleh pegawai kesihatan awam dan kerana pandemik COVID-19, kami akur dengan garis panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa.”

Tiada tarikh baru dinyatakan untuk perlumbaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Chase Carey, berkata pegawainya bekerja dengan promoter untuk rombakan kalendar 2020, dengan harapan untuk memulakan satu musim pada musim panas.

“Ketika tiada apa yang dapat dipastikan tentang situasi krisis kesihatan ini dan berapa lama ia akan berlarutan namun jika semuanya kembali reda, kami akan bersedia untuk berlumba sekali lagi,” kata Carey.

“Kami semua komited untuk memberikan perlumbaan 2020 kepada peminat.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia