Utusan Borneo (Sabah)

Amang seksual: Pemandu van dipenjara empat tahun, lima sebatan

- Oleh Hamzah Sanudin

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhka­n hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemandu van kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 16 tahun pada Mac lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas Kuah Hamid, 56, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan itu dengan mencium dan menyentuh payudara sebelah kanan mangsa di sebuah bilik penginapan di Jalan Bakau, di sini pada 5 Mac lalu jam 5.30 petang.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh tinggal di kampung yang sama dengan mangsa dan diberikan amanah oleh ibu mangsa untuk menghantar serta mengambil anaknya dari rumah Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, ke tempat kerja di pusat bandar.

Bagaimanap­un, pada hari kejadian selepas selesai bekerja mangsa yang menaiki van tertuduh untuk pulang telah dibawa ke sebuah bilik penginapan di Jalan Bakau.

Semasa mereka berada di dalam bilik berkenaan, mangsa diberi minum air mineral dipercayai mengandung­i bahan terlarang mengakibat­kan mangsa berada dalam keadaan separuh sedar sebelum tertuduh bertindak melakukan perbuatan keji itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman berat ke atas tertuduh kerana mengambil kira faktor jarak umur antara tertuduh dan mangsa terlalu jauh.

Tertuduh juga didapati telah mencabuli amanah dan kepercayaa­n yang diberikan oleh ibu mangsa untuk membawa dan menghantar mangsa berulang alik ke tempat kerja.

Sementara itu Awang Kerisnada dalam penghakima­nnya berkata, perbuatan tertuduh adalah jenayah yang dirancang kerana tindakanny­a secara sedar memberi mangsa minuman yang mengandung­i bahan terlarang adalah kesalahan yang serius.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh reman iaitu pada 3 April 2020.

 ??  ?? TERIMA PADAH: Kuah diiring anggota polis selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen, semalam.
TERIMA PADAH: Kuah diiring anggota polis selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia