Utusan Borneo (Sabah)

Selepas tiga minggu PKP, kes ingkar masih meningkat

-

KUALA LUMPUR: Semalam masuk hari ke-23 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana di negara ini bagi mengekang penularan wabak COVID19, namun menjelang enam hari lagi sebelum perintah itu berakhir, kebimbanga­n tercetus apabila statistik kes ingkar arahan itu menunjukka­n peningkata­n.

Malah, kebimbanga­n itu turut disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar harian kelmarin, apabila menyatakan bahawa masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan seperti kunjung mengunjung ke rumah saudara-mara dalam tempoh PKP.

Malah kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat.

Setakat kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahka­n tangkapan individu yang melanggar arahan PKP meningkat 13 peratus atau 454 orang pada Selasa, berbanding 403 (Isnin).

Selain itu kawasan-kawasan yang dikategori zon merah COVID-19 turut meningkat kepada 23 lokasi seluruh negara, selepas daerah Sepang di Selangor dan Kota Samarahan, Sarawak mencatat kes lebih 41 pada Selasa. Sehingga kini empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) membabitka­n Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor) dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Dalam pada itu, setakat kelmarin tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif COVID-19 tertinggi iaitu Selangor (1,078 kes), Kuala Lumpur (685 kes) dan Johor (496 kes).

Jika diteliti perkembang­an situasi itu, PKP yang dijadualka­n berakhir Selasa depan tidak mustahil akan dilanjutka­n.

Susulan peningkata­n kes ingkar PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP, bermula kelmarin.

Setakat kelmarin seramai 166 pesakit disahkan pulih, manakala 156 kes baharu direkodkan menjadikan keseluruha­n kes postif COVID-19 di Malaysia ialah 4,119 kes, dengan 65 kematian.

Justeru, adalah menjadi tanggungja­wab rakyat secara keseluruha­nnya, untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia