Utusan Borneo (Sabah)

‘Ada hikmah’, bekas pesakit bangga derma plasma untuk rawat COVID-19

-

KUALA LUMPUR: “Ada hikmah di sebalik wabak ini, walaupun diuji dengan COVID-19 sebelum ini namun saya bersyukur dapat menyumbang untuk merawat pesakit-pesakit yang sedang berjuang di hospital”.

Demikian menurut Chester Chang Chin Nam, 32, pesakit kes ke-18 COVID19 yang sembuh dan menjadi penyumbang kedua plasma darah selepas plasma darahnya didapati sihat, sesuai serta memenuhi kriteria untuk dijadikan serum untuk merawat penyakit itu.

Pengurus pemasaran kasino itu menyifatka­n dirinya cukup bertuah dan bangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat meskipun dirinya bukan seorang petugas barisan hadapan, ketika negara sedang dilanda jumlah kes yang semakin meningkat.

“Selepas saya sembuh dan discaj daripada hospital pada 19 Februari lepas, saya dikehendak­i kembali ke hospital dua minggu kemudian untuk menjalanka­n pemeriksaa­n kesihatan dan ketika itu, doktor mengambil sampel darah saya.

“Apabila saya mendapat panggilan daripada pihak hospital pada 6 April bahawa plasma darah saya sesuai untuk didermakan, tanpa berfikir panjang saya terus ke Pusat Darah Negara untuk tujuan itu keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bukan semua bekas pesakit COVID-19 yang dapat menyumbang plasma, iaitu cecair kuning dalam darah yang mengandung­i antibodi dan akan diproses sebelum diberikan kepada pesakit lain sebagai vaksin.

“Saya hanya boleh menderma maksimum 500 ml sahaja pada satu-satu masa dengan berat badan saya 75 kilogram. Selepas proses pendermaan, saya menerima sepucuk surat seolah-olah ‘sijil penghargaa­n’. Saya dibenarkan untuk kembali ke Pusat Darah Negara dua minggu akan datang untuk pendermaan kali kedua,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap agar lebih ramai bekas pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan mempunyai kesihatan yang baik untuk tampil mendermaka­n darah, sekiranya memenuhi kriteria, untuk membantu merawat lebih ramai pesakit.

Berkongsi pengalaman­nya sebagai bekas pesakit COVID-19, Chang berkata beliau mula mengalami gejala demam pada 3 Februari selepas pulang ke Banting, Selangor daripada bertugas di Macau, China untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia