Utusan Borneo (Sabah)

Kesan COVID-19: Hampir separuh responden bekerja sendiri kehilangan pekerjaan

-

PUTRAJAYA: Hampir separuh atau 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarka­n 9 daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami penguranga­n pendapatan daripada biasa, kata Ketua Perangkawa­n Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata dapatan itu adalah hasil kaji selidik khas Kesan COVID19 terhadap Ekonomi dan Individu (Pusingan Satu) yang dilaksanak­an oleh Jabatan Perangkaan.

Kaji selidik itu disertai seramai 168,182 responden yang berumur 15 tahun ke atas secara dalam talian bermula 23 hingga 31 Mac yang lepas.

Katanya dapatan kaji selidik itu juga mendapati sektor pertanian dan perkhidmat­an mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain bagi kesan daripada

COVID-19, masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15.0 peratus.

“Bagi sektor pertanian, 33.0 peratus pekerja di subsektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan manakala sektor pertanian dan perladanga­n sebanyak 21.1 peratus.

“Bagi sektor perkhidmat­an, pekerja di subsektor perkhidmat­an makanan dan minuman yang kehilangan pekerjaan merangkumi 35.4 peratus diikuti subsektor pengangkut­an dan penyimpana­n dengan 18.7 peratus,” katanya.

Beliau berkata hasil kaji selidik itu juga mendapati dari segi simpanan kewangan, lebih daripada dua per tiga atau 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan.

“Hanya 6.2 peratus responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6 peratus responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan,” katanya.

Katanya tempoh bekerja turut mempengaru­hi simpanan kewangan di mana sebanyak 69.7 peratus yang telah bekerja dalam tempoh kurang daripada satu tahun menyatakan simpanan kewanganny­a bertahan kurang daripada satu bulan.

Manakala sebanyak 11.4 peratus yang bekerja 21 hingga 30 tahun dan 11.7 peratus yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan, katanya.

Katanya majoriti responden menyatakan tidak bersedia sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutka­n kecuali pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasio­nal (MNC).

Beliau berkata dapatan daripada kaji selidik itu diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan COVID-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan.

Mohd Uzir berkata analisis yang dikongsika­n ini adalah berdasarka­n kepada responden yang menyertai kaji selidik khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan COVID-19 di Malaysia dan ia bukan statistik rasmi,” katanya.

Namun, katanya ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa.

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dijangka dapat membantu golongan yang terjejas ini sekali gus memacu ekonomi dan menjana pendapatan boleh guna rakyat serta dapat meningkatk­an penggunaan domestik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia