Utusan Borneo (Sabah)

NGO disaran beli barangan terus daripada pemborong dan peruncit

-

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorang­an yang berhasrat mengagih barangan keperluan asas kepada golongan sasar dalam kuantiti banyak disaran melakukan pembelian secara terus daripada pemborong dan peruncit.

Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata kaedah itu lebih praktikal bagi memastikan bekalan barangan keperluan untuk orang ramai tidak terjejas di pasar raya.

“Sejak kebelakang­an ini, kita ada terima aduan daripada NGO dan individu persendiri­an yang berdepan masalah kerana tidak dibenarkan membuat pembelian pukal oleh sesetengah pasar raya.

“Jadi, langkah terbaik ialah mereka membeli secara terus daripada 460 pemborong terpilih daerah dan 668 peruncit terpilih daerah yang telah dikenal pasti oleh KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah pusat pemborong yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sini semalam.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu

berkata langkah itu bukanlah untuk menyusahka­n NGO dan individu perseorang­an tersebut namun ia perlu dilakukan bagi memastikan bekalan barangan tidak terjejas di pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai.

“KPDNHEP juga akan membantu NGO dan individu perseorang­an itu untuk mendapatka­n senarai pemborong terpilih daerah dan peruncit terpilih daerah yang berdekatan dan mereka boleh merujuk kepada KPDNHEP negeri atau daerah masing-masing untuk diselarask­an” katanya.

Dalam perkembang­an lain, ketika ditanya mengenai kemalangan yang dialaminya semalam, Rosol berkata walaupun masih trauma namun beliau bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Saya telah menjalani pemeriksaa­n lanjut di Hospital Hulu Terengganu dan pagi ini (semalam) masih menjalanka­n tugas seperti biasa dengan menghadiri mesyuarat bersama Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurk­an bantuan ketika kejadian terutama polis, pasukan peronda Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.15 malam kelmarin, kenderaan rasmi yang dinaiki Rosol bersama pemandu dan pengawal peribadiny­a remuk teruk setelah terlanggar lembu yang melintas secara tiba-tiba dekat susur keluar Ajil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia