Utusan Borneo (Sabah)

WHO gesa perpaduan global ekoran kecaman Trump

-

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin merayu bagi perpaduan global dalam usaha melawan COVID-19, ekoran kecaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas cara ia menangani pandemik itu.

Ketika WHO bersiap sedia untuk menandakan 100 hari semalam sejak ia pertama kali dimaklumka­n mengenai wabak di China, Ketua Pengarah Tedros Adhanom Ghebreyesu­s membidas tuduhan bahawa ia terlalu akrab dengan Beijing.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menerima kritikan pada masa lalu, baik kerana menunjukka­n reaksi yang keterlalua­n mahupun bertindak terlalu perlahan dalam usaha memerangi wabak, tetapi ia jarang sekali berdepan dengan begitu ba-nyak perhatian seperti dengan pandemik COVID19.

Trump memburukka­n lagi tekanan pada Selasa lepas apabila beliau menuduh WHO membuat keputusan yang salah dan lambat selama berbulan-bulan, dan pada waktu yang sama mengambil wang AS tetapi memihak kepada China.

COVID-19, yang pertama kali muncul di China pada

Disember lalu, sudah membunuh lebih 80,000 orang, manakala lebih 1.4 juta diuji positif.

“WHO benar-benar melakukan kesilapan. Kerana sebab tertentu, dibiayai kebanyakan­nya oleh AS, namun sangat berpaksika­n China. Kita akan melihat perkara itu dengan baik,” kata Trump di Twitter.

“Nasib baik saya menolak nasihat mereka untuk terus membuka sempadan kita kepada China pada awalnya. Kenapakah mereka memberikan kita saranan yang begitu salah?”

Bagaimanap­un Presiden Perancis Emmanuel Macron kemudian “mengulangi kepercayaa­nnya bahawa WHO mesti menjadi sebahagian daripada penyelesai­an” dalam satu perbualan dengan Tedros, menurut seorang pegawai presiden.

“Beliau enggan melihat WHO terperangk­ap dalam peperangan antara China dan AS ini,” kata pegawai itu mengenai Macron.

Tedros menggesa AS menyertai China dalam usaha memerangi penyakit itu dan bukannya asyik menyalahka­n orang lain, ketika beliau mempertaha­nkan dengan tegas cara WHO mengurus pandemik.

“AS dan China harus bersatu dan melawan musuh bahaya ini,” kata Tedros dalam satu taklimat media maya di Geneva.

“Fokus semua parti politik seharusnya untuk menyelamat­kan rakyat mereka. Tolong jangan mempolitik­kan virus ini.

“Jika anda tidak mahukan lebih banyak lagi beg mayat, maka anda jangan mempolitik­kannya,” kata ketua WHO itu, sebelum menambah kemudian: “Ia seperti bermain dengan api.”

Sambil memetik bilangan kematian dan jumlah jangkitan, Tedros merayu: “Demi Tuhan, tidak cukupkah ini?”

WHO dituduh terlalu risau dan cemas ketika ia berdepan dengan wabak H1N1 pada 2009 tetapi lima tahun kemudian, ia dituduh bertindak lambat untuk mengisytih­arkan darurat berhubung wabak Ebola di barat Afrika, yang membunuh lebih 11,000 orang.

Sekarang agensi itu dituduh pula melengahka­n pengumuman mengenai COVID-19 kerana enggan menyinggun­g Beijing, kerana menunggu terlalu lama untuk mengisytih­arkan wabak itu sebagai pandemik global, dan kerana gagal untuk menyelaras tindakan antarabang­sa yang jitu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia