Utusan Borneo (Sabah)

APAD dibenar perbaharui kad pemandu teksi

-

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarka­n Agensi Pengangkut­an Awam Darat (APAD) untuk memperbaha­rui Kad Pemandu teksi dengan menyerahka­n semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 1 Julai, kata Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata ini kerana terdapat maklum balas masih ada pihak yang belum menerima bantuan tunai RM600 kerana pelbagai sebab termasuk kira-kira 30,000 pemandu teksi yang tidak dapat menerima manfaat itu berikutan Kad Pemandu mereka sudah tamat tempoh sah.

“Ini termasuk mereka yang Kad Pemandu telah luput sebelum 18 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata APAD seterusnya akan membantu pemandu untuk tindakan susulan bagi mendapatka­n bayaran tunai RM600.

Wee berkata bagi pemandu teksi yang tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), mereka perlu mengemas kini butiran akaun bank mereka melalui semakpriha­tin.treasury.gov. my dengan memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad).

Beliau berkata bagi pemandu yang mengalami masalah bankrap atau muflis pula, mereka boleh merujuk terus kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri atau melayari portal BHEUU untuk tindakan lanjut.

Beliau juga mengingatk­an semua pengusaha pengangkut­an awam termasuk pengusaha teksi supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjalanka­n operasi tanpa dokumen yang sah.

Wee berkata wabak COVID-19 telah menjejaska­n pengusaha sektor pengangkut­an awam apabila jumlah penumpang menunjukka­n penurunan ketara susulan pergerakan terhad orang ramai di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan pemandu teksi adalah antara kumpulan yang paling terjejas.

Justeru, beliau berkata kerajaan telah mengumumka­n bayaran secara sekali beri sebanyak RM600 kepada pemandu teksi yang berdaftar dengan peruntukan sejumlah RM18 juta bagi Fasa Pertama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Mac lalu.

Ia bagi meringanka­n beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan disebabkan pelaksanaa­n PKP yang kini dilanjutka­n sehingga 9 Jun dengan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya.

Wee berkata seramai 29,447 pemandu teksi yang memiliki kad pemandu sah yang aktif semasa tempoh PKP telah menerima manfaat bantuan tunai RM600 yang diuruskan pembayaran­nya oleh Kementeria­n Kewangan bermula 2 April melalui BSN dan Interbank GIRO (IBG). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia