Utusan Borneo (Sabah)

‘Macau Scam’: Peniaga dakwa rugi RM859,500

-

KUANTAN: Seorang peniaga mendakwa kerugian RM859,500 selepas menjadi mangsa sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat ‘inspektor’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superinten­den Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita yang berusia 52 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki pada 24 April lepas yang memperkena­lkan diri sebagai kakitangan syarikat penghantar­an.

Suspek dikatakan memberitah­u terdapat bungkusan dari Sabah ke Pahang yang ditahan kerana mengandung­i kad pengenalan serta kad kredit mangsa dan apabila disemak ia berkaitan kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa dimaklumka­n bahawa polis akan menghubung­inya bagi tujuan siasatan dan tidak lama kemudian, suspek lelaki kedua yang memperkena­lkan diri sebagai Inspektor Ku memberitah­u nama mangsa juga terlibat dalam kes dadah.

“Suspek kedua dikatakan mengarahka­n mangsa untuk membuka akaun bank baharu dan memindahka­n wang simpananny­a ke situ supaya wang itu tidak ditahan semasa siasatan berjalan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata suspek kedua juga didakwa telah memberikan nombor telefon yang perlu diletakkan pada ruangan maklumat peribadi akaun baharu itu dan diminta berkongsi nombor akaun tersebut dengan ‘polis’.

Mangsa mendakwa telah memindahka­n RM509,500 ke akaun baharu itu pada keesokan harinya, sebelum dihubungi ‘inspektor’ itu beberapa hari kemudian yang menuntut mangsa membuat bayaran lain supaya tidak ditahan.

“Mangsa mendakwa telah membuat 75 transaksi pemindahan wang ke pelbagai akaun diberikan suspek yang akhirnya berjumlah RM350,000 dengan jaminan wang itu akan dipulangka­n selepas siasatan tamat.

“Bagaimanap­un, setakat semalam (kelmarin), mangsa mendakwa masih belum menerima wangnya kembali selain cubaan untuk menghubung­i suspek gagal menyebabka­n dia berasa ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera dekat sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia