Utusan Borneo (Sabah)

Euro 2020 bermula semalam dalam versi permainan video

-

PARIS: Euro 2020 mungkin sudah dikeluarka­n dari kalendar disebabkan oleh COVID19, tetapi versi permainan video eTournamen­t UEFA tetap bermula semalam.

Bukan Kylian Mbappe, Harry Kane atau Cristiano Ronaldo yang berlari di sekeliling padang, tetapi para pemain video, yang bertanding dalam eEuro yang sulung dari kerusi berlengan mereka.

“Beban daripada segalanya terletak di atas bahu kami,” kata pemuda berusia 21 tahun dari Perancis, Lotfi Derradji, yang berasal dari bandar pinggir Paris tetapi ‘bermain’ untuk Monaco di mana dia dinobatkan sebagai juara Perancis pada 2018.

“Kami akan mewakili Perancis bukan di atas padang tetapi di atas konsol, kami menerima jumlah sokongan yang amat tinggi sekali,” kata rakan sepasukan Derradji pada peringkat kelab dan antarabang­sa, Walid Rachid Tebane, yang memenangi kejuaraan individu Eropah pada Jun 2019.

“Kami kecewa kerana kejohanan Euro telah ditunda tetapi pada waktu yang sama, ia mengalih lebih banyak perhatian kepada kami,” tambah Derradji, yang telah bermain bersama penyerang antarabang­sa Perancis – dan penggiat permainan video – Antoine Griezmann.

Dengan menggunaka­n konsol Playstatio­n, perlawanan kumpulan adalah satu pertanding­an dua-lawandua.

Perlawanan pada peringkat kalah mati adalah pertanding­an terbaik daripada tiga serta campuran satu-lawan-satu dan dua-lawan-dua. Perlawanan akhir adalah terbaik daripada lima.

“Bermain dengan Kylian Mbappe akan sentiasa lebih lancar berbanding dengan Mitroglou tetapi dalam permainan ini, dia tidak lebih bagus berbanding Mitroglou,” jelas Derradji, yang merujuk kepada seorang penyerang Greece, Kostas Mitroglou.

“Walau bagaimanap­un, ia tidak akan menggantik­an bola sepak sebenar, jangan terbawa-bawa.

“Ia tidak selalunya mudah untuk meyakinkan orang tentang acara di mana para peserta pertanding­an yang duduk sahaja.”

Namun populariti permainan dalam talian seperti Fortnite fan League of Legends dengan audiens muda dilihat oleh UEFA sebagai tanda bahawa landskap sedang berubah.

Pengarah pemasaran UEFA Guy-Laurent Epstein berkata sekatan pergerakan telah menguntung­kan eSports.

“Permainan video dan kemunculan pemain video merupakan peluang yang perlu dirampas,” katanya.

“Kita telah menyaksika­n ledakan acara sejak beberapa bulan lalu kerana ia merupakan alternatif bagi peminat sukan,” katanya.

“Dan sebahagian daripada mereka telah menarik audiens yang signifikan.”

Dia menambah: “Kita mengharapk­an minimum empat juta penonton pada hujung minggu ini.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia