Utusan Borneo (Sabah)

Tanah runtuh ragut 13 nyawa di Ivory Coast

Kejadian ekoran hujan lebat menyebabka­n ramai lagi hilang, landasan kereta api tergantung

- — Gambar AFP

ABIDJAN: Tiga belas orang maut kelmarin sementara ramai lagi termasuk kanakkanak hilang dan dikhuatiri meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahka­n beberapa rumah dan menyebabka­n landasan kereta api tergantung di sebuah subbandar Abidjan, bandar utama Ivory Coast.

Tanah runtuh ekoran hujan lebat menyebabka­n kemusnahan besar, dengan barang keperluan harian dapat dilihat di celah-celah runtuhan dinding biru dan beberapa bahagian atap tin, satu patung beruang di sini, sehelai kemeja-T merah jambu di sana.

Penduduk berkata beberapa kanak-kanak turut terkorban atau hilang di subbandar penuh sesak Anyama, utara bandar tepi pantai itu.

Tanah runtuh dan banjir adalah perkara biasa di Abidjan, ibu negara ekonomi pengeluar koko utama di dunia, ketika musim hujan, mencetuska­n kacau-bilau di kawasan melarat yang dibina di tepi bukit di bandar tepi pantai itu.

“Angka kematian sementara adalah 13 orang dan pencarian diteruskan,” kata pengawas Abidjan Vincent Toh Bi, tanpa menjelaska­n sama ada jumlah itu termasuk kanak-kanak.

Beliau menambah bahawa “20 rumah dihanyutka­n”.

Kira-kira 10 orang dimasukkan ke hospital, kata penduduk tempatan.

“Saya kehilangan anak lelaki berusia tiga tahun dan saya sedang mencari mayatnya,” kata Aboubacar Dagnon, selepas rumah isterinya musnah.

Beliau menambah bahawa satu saluran perparitan telah tersumbat selama beberapa bulan dan membentuk takungan air.

Seorang lagi penduduk berkata sebahagian daripada bukit pecah dan melata turun ke atas rumah-rumah pada kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan selepas satu saluran perparitan pecah.

Musim hujan di Abidjan bermula pada Mei dan biasanya berlarutan sehingga hujung Julai.

Pada tengah hari kelmarin, beratus-ratus penduduk tempatan mengharung­i lumpur sehingga paras lutut dan pinggul mereka untuk mencari mangsa terselamat, atau mencari dokumen, pakaian dan peralatan dapur mereka.

Landasan kereta api di antara Abidjan dan Ouagadougo­u, ibu negeri negara jiran Burkina Faso, tergantung selepas timbunan tanah sehingga empat hingga lima meter di bawahnya runtuh.

“Syukur kepada Tuhan isteri saya berada di luar ketika saya sedang tidur,” kata Seba Cisse, seorang tukang membaiki televisyen yang kehilangan segala-galanya dalam bencana tersebut.

“Dia mengejutka­n saya dan memberitah­u terdapat tanah runtuh. Dinding telah retak. Dia menyelamat­kan anak lelaki kami yang berusia tiga bulan,” tambah Cisse, yang tidak berkasut dan memakai baju bola sepak Argentina.

“Saya mengetuk pintu rumah abang saya. Saya berjaya menyelamat­kannya, namun bapa saudara saya, isterinya yang hamil, anak lelaki dan anak perempuan mereka telah ditimbusi tanah.”

Di kawasan berhampira­n, Khadija Sekongo bergelut untuk membawa guni yang dipenuhi pakaian dan periuk yang basah dan disaluti lumpur.

“Saya kehilangan rumah saya,” katanya ketika bergelut untuk menaiki satu cerun bersama dengan baranganny­a.

Pengawas Abidjan berkata hujan lebat telah meragut satu nyawa pada hujung minggu lepas.

Seramai 18 orang meninggal dunia di Abidjan semasa banjir pada Jun 2018.

Bandar tersebut adalah kediaman kepada kira-kira lima juta orang, ramai daripada mereka tinggal di kawasan melarat yang kerap dilanda banjir atau zon berbahaya.

Selepas banjir pada 2018, pihak berkuasa memusnahka­n penempatan di bahagian paling mudah terdedah pada bahaya di bandar itu di mana penduduk membina rumah di mana sahaja mereka menemui ruang untuk berbuat sedemikian.

Kelmarin pihak berkuasa mendirikan khemah untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal, atau dipindahka­n dari kawasan tanah runtuh.

 ??  ?? MALAPETAKA: Penduduk berkumpul dekat landasan kereta api yang tergantung selepas kejadian tanah runtuh mengorbank­an 13 nyawa di subbandar Anyama, Abidjan kelmarin.
MALAPETAKA: Penduduk berkumpul dekat landasan kereta api yang tergantung selepas kejadian tanah runtuh mengorbank­an 13 nyawa di subbandar Anyama, Abidjan kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia