Utusan Borneo (Sabah)

Polis ambil keterangan ahli politik ikut keperluan undang-undang: KPN

-

IPOH: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil beberapa ahli politik bagi merekod kenyataan bukan disebabkan desakan manamana pihak, tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan undangunda­ng, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menegaskan tindakan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima dan meneliti laporan yang dibuat oleh individu tertentu di seluruh negara terhadap ahli politik berkenaan berkaitan isu politik.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamanah­kan saya sebagai Ketua Polis Negara, saya beri jaminan PDRM tidak diberi tekanan untuk mengambil tindakan, seolah-olah menekan mana-mana kumpulan atau parti politik, saya tidak benarkan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis penyampaia­n pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ atau anumerta, Skim ExGratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan untuk Allahyarha­m Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, di sini semalam. Majlis disempurna­kan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, beberapa ahli politik termasuk bekas Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan susulan laporan polis dibuat terhadap mereka.

Abdul Hamid berkata tindakan memanggil beberapa ahli politik sepatutnya dibuat lebih awal, namun ia tertangguh disebabkan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

“Tindakan memanggil ini bukan menangkap. SOP yang dijalankan adalah memanggil mereka mengikut tarikh diberikan dengan mengambil kira waktu senang mereka. Mereka hadir dan beberapa soalan ditanya berdasarka­n laporan polis yang diterima.

“Sekiranya selepas proses soal jawab tadi, polis mengesan wujudnya satu perbuatan fitnah, maknanya individu ini difitnah, kita akan mengambil tindakan mencari pula orang yang memfitnah,” katanya sambil menegaskan pegawai tidak dibenarkan menggunaka­n kekerasan sepanjang proses merekodkan kenyataan.

Mengulas tangkapan 18 pegawai dan anggota polis serta tentera kerana disyaki terbabit menjual maklumat kepada sindiket penyeludup­an pendatang asing dan dadah di Johor, Abdul Hamid berkata siasatan akan diteruskan untuk mendapatka­n identiti ahli sindiket itu.

Beliau berkata PDRM akan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012 agar kesemua yang ditahan tidak dibenarkan ikat jamin dan tidak menolak kemungkina­n lebih ramai akan ditangkap.

“Siapa yang berani buat kena tanggung, tiada kompromi. Kita amat fokus dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahka­n 18 pegawai dan anggota polis serta tentera yang kesemuanya lelaki berumur antara 24 hingga 41 ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri kerana dipercayai menyalurka­n maklumat kepada sindiket penyeludup­an pendatang asing serta dadah dengan memperoleh bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia