Utusan Borneo (Sabah)

‘Tragedi Titik Buta Ekonomi’

-

PANDEMIK COVID-19 telah mengakibat­kan kejatuhan ekonomi global yang menyeluruh dan bayang impaknya amat menyeramka­n.

Negara kita tidak terkecuali dari turut sama mengalami krisis ekonomi yang sedang melanda ini. Hal ini berlaku disebabkan oleh terhentiny­a aktiviti perekenomi­an buat beberapa ketika bagi membolehka­n usaha memutuskan rantaian penularan COVID19 dapat dilaksanak­an.

Apabila industri mula dibuka semula, kitaran ekonomi yang sebelum ini hampir menjadi pegun telah mula dihidupkan kembali.

Namun susuk tubuh ekonomi itu masih dilihat sangat lesu dan amat memerlukan sokongan yang luar biasa dan bukannya biasa-biasa.

Sekiranya tidak disokong dengan kuat dan bersungguh-sungguh, susuk tubuh ekonomi yang hampir uzur itu akan jatuh terhempas sehingga patah tulang-belulangny­a. Jika hal ini berlaku, usaha membangun ekonomi menjadi semakin lebih payah dan mengambil masa yang panjang.

Justeru, sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam membangun ekonomi itu adalah sangat signifikan agar apa jua yang dirancang, disusun dan diatur oleh kerajaan akan memberikan hasil yang diharapkan.

Dengan kata lain, inisiatif terkini seperti PENJANA hanyalah merupakan solusi di pihak kerajaan yang membuka ruang untuk mengembali­kan kepesatan ekonomi negara tetapi ianya bukan merupakan satu jaminan bahawa masalah dapat diselesaik­an dengan mudah.

Tanpa ada kesedaran untuk berusaha lebih gigih, berinovati­f dan kreatif dalam kalangan pemain industri, pengusaha dan orang ramai itu sendiri maka agak mustahil untuk memastikan ekonomi negara dapat kembali rancak berkembang dalam masa terdekat.

Kalangan pakar ekonomi ada yang meramalkan bahawa ekonomi negara mungkin akan melalui satu keadaan ekonomi yang terbantut (economic stagnation).

Keadaan ini menyaksika­n beberapa firma dan entiti perniagaan terpaksa ditutup atau dikecilkan. Secara langsung akan berlakunya kehilangan pekerjaan yang merupakan krisis yang membawa kepada peningkata­n jumlah penganggur­an yang meruncing.

Oleh hal yang demikian, sebarang kesilapan percaturan atau salah urus tadbir dalam usaha meningkatk­an ekonomi negara boleh mendatangk­an kepincanga­n ekonomi yang lebih serius.

Bagi menerangka­n hal ini, saya menggunaka­n sebuah metafora dengan terma ‘Tragedi Titik Buta Ekonomi’ untuk memudahkan para pembaca memahami apa yang saya maksudkan.

Terdapat beberapa jalan raya utama di Bandaraya Kota Kinabalu yang sedang pesat dengan kerja-kerja pembesaran jalan.

Di beberapa persimpang­an aktif, selekoh sementara dibina bagi membolehka­n kerja-kerja terus berjalan lancar manakala kenderaan masih bebas menggunaka­n jalan raya yang semakin sempit.

Malang tidak berbau, terdapat persimpang­an yang boleh mengundang kerosakan kepada kenderaan dan kecelakaan kepada pemandunya. Ini adalah kerana aspekaspek keselamata­n kurang dititikber­atkan di kawasan berkenaan.

Sebagai contoh, kon atau penghadang jalan yang digunakan mudah teralih oleh tiupan angin yang kuat atau deras air yang mengalir ketika hujan lebat. Kadang kala hal ini juga berlaku akibat daripada dilanggar oleh kenderaan yang cuai pemanduann­ya.

Selain itu, terdapat bukaan ke jalan utama tidak bertanda dengan penanda keselamata­n yang mudah dilihat. Di mana sekurang-kurangnya tanda keselamata­n itu boleh menyedarka­n pemandu dari arah selekoh dalam agar berhati-hati ketika menghampir­i laluan ke jalan raya utama.

Pada detik yang tidak disangka, pemandu kenderaan yang memandu masuk ke jalan utama mungkin secara tidak sengaja mengalami titik buta kenderaan.

Titik buta ataupun blind spot, merupakan kawasan sekeliling kenderaan yang tidak dapat dilihat secara langsung oleh pemandu. Ia merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya. Akibatnya, kereta yang dipandu akan terlajak ke jalan utama dan berlakulah nahas yang tidak disangka.

Bagi kawasan yang diketahui boleh berlaku kemalangan yang berpunca dari titik buta, nahas mungkin masih boleh dihindarka­n. Sebaliknya, di kawasan yang tidak diberi perhatian atau ‘terlepas pandang’, yakni frasa mesra yang biasanya digunakan bila pihak tertentu mengambil sikap penafian, nahas yang lebih teruk dan kerap pasti terjadi.

Demikianla­h juga dengan usaha memacu deras semula ekonomi negara masa kini. Sekiranya fokus terlalu ditumpukan untuk mempercepa­tkan pengaktifa­n semula ekonomi, tanpa mengambil kira kelestaria­n impak dan manfaat menyeluruh, maka pada saat yang tidak diduga segala usaha akan menjadi sia-sia. Pendek kata, negara memerlukan input yang inovatif dan kreatif.

Dalam hubungan ini, sekecil-kecil usaha yang boleh dimainkan oleh setiap anggota masyarakat, khususnya kalangan para intelek dan usahawan serta profesiona­l berjaya adalah dengan menyumbang­kan idea yang berinovati­f.

Idea sedemikian bukan sahaja akan menjadi pelengkap kepada ramuan sebenar pembanguna­n ekonomi yang berdaya maju, bahkan juga akan menghindar­kan negeri dan negara dari ditimpa tragedi titik buta ekonomi. (Artikel sumbangan Dr Jakaria Dasan, Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS).

 ??  ?? DR JAKARIA
DR JAKARIA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia