Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19: Kes baharu kembali satu angka kepada enam, kluster baharu di Kidurong

-

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 di Malaysia semalam kembali kepada satu angka membabitka­n hanya enam jangkitan, menjadikan jumlah kes positif kepada 8,535 kes, manakala kluster baharu dikesan di Kidurong dekat Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 70 kes pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan discaj semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,070 kes iaitu 94.6 peratus, daripada jumlah keseluruha­n kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan COVID-19 adalah 344 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembang­an COVID-19 di sini semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegar­a Malaysia dan satu bukan warganegar­a yang merupakan pemastauti­n tetap.

“Kesemua empat kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegar­a,” katanya.

Sehingga kini Dr Noor Hisham berkata, sebanyak tiga kes positif COVID19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumka­n tiada pertambaha­n kes kematian berkaitan COVID19 dilaporkan semalam dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus, daripada jumlah keseluruha­n kes.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, KKM telah mengesan satu kluster baharu di Sarawak, iaitu kluster Kidurong yang melibatkan enam kes setakat ini.

Beliau berkata, kes indeks adalah merupakan seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di mana beliau dikesan positif pada 12 Jun lalu.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati, bahawa ahli keluarga beliau juga telah dikesan positif COVID-19, iaitu ibu, bapa, dan dua adik-beradik beliau.

“Salah seorang rakan kepada ayah kes (pelajar) ini juga didapati positif COVID19, menjadikan ini sebagai sebuah kluster baharu di Kidurong,” katanya lagi.

Susulan itu beliau berkata, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan, dengan setakat ini seramai 231 orang telah dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, 163 orang telah disaring dan kesemuanya adalah negatif COVID-19, dan punca jangkitan masih dalam siasatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia