Utusan Borneo (Sabah)

Kejayaan lima universiti Malaysia tersenarai 200 terbaik bukti pendidikan tinggi bertaraf dunia

-

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia meletakkan kelima-lima universiti penyelidik­an berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia membuktika­n bahawa pendidikan tinggi Malaysia kini bertaraf dunia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata matlamat itu terkandung dalam pelan strategik pengajian tinggi yang dilancarka­n pada tahun 2013 dengan meletakkan sasaran pada 2015 hingga 2025 dengan kerajaan berharap meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara dengan universiti penyelidik­an terbaik dunia (hab pendidikan tinggi bertaraf dunia).

Laporan itu dikeluarka­n Quacquarel­li Symonds (QS) World University Rankings 2021, pada 10 Jun lalu.

“Kerajaan telah mengusahak­an perkara ini, ketika rangka tindakan dilancarka­n, Menteri Pendidikan atau Menteri Pelajaran ketika itu adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini).

“Dan hari ini kita dapat lihat sasaran 2015-2025, Malaysia sudah berada di pertengaha­n jalan dan mendapat pencapaian yang sangat memberangs­angkan,” katanya dalam temu bual khas program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam kelmarin.

Mohamed Mustafa berkata pencapaian ini bukan hanya terbatas kepada lima pengajian sahaja dan tidak boleh lonjakkan semua pengajian dalam satu masa yang sama kerana setiap pengajian tarafnya adalah berbeza.

“Ranking pada hari ini, boleh dikatakan sembilan atau 10 universiti telah melonjak pencapaian mereka selain lima universiti penyelidik­an. Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga mempunyai pencapaian baik, ada yang sudah cecah tangga 379 seperti Taylor’s University, UCSI University,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian itu adalah menyeluruh dan menunjukka­n bahawa pelaburan kerajaan dan Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) telah membuahkan hasil.

Kelima-lima universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ranking ini bukan sekadar anak tangga meningkat, ia juga adalah satu penunjuk atau benchmark kualiti atau mutu pendidikan tinggi Malaysia. Harus diingatkan kalau mahu jadi hab pendidikan, kita mesti mampu bersaing dengan universiti terkemuka lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPT masih merancang dan mengatur bagi pembukaan sepenuhnya pengajian tinggi yang berkemungk­inan beroperasi sepenuhnya tetapi hanya 1/3 pelajar sahaja yang belajar secara bersemuka kerana perlu menjaga jarakan sosial.

“Mungkin juga 2/3 pelajar, belajar secara dalam talian, mungkin minggu ini bersemuka, minggu depan belajar dalam talian, ambil giliran,” katanya mengulas mengenai perkembang­an terkini pembukaan semula IPT yang ditutup berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia