Utusan Borneo (Sabah)

KKMM bantu syarikat produksi banyakkan filem dan drama: Saifuddin

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia akan menumpukan pada usaha membantu syarikat produksi menghasilk­an lebih banyak filem dan drama dalam tempoh enam bulan akan datang, menerusi pinjaman mudah berjumlah RM100 juta di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementeria­n menyedari ramai pemain industri perfileman dan seni terkesan kerana tidak dapat beroperasi ekoran pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Sehubungan itu, dalam masa enam bulan ini kita akan gunakan dana yang disediakan melalui PENJANA ini serta manamana dana yang ada dengan sebaiknya, kerana kita faham tiga bulan lepas tiada penggambar­an dijalankan.

“Ada syarikat produksi kecil yang sebelum ini tiga bulan tiada kerja dan apabila mahu mula penggambar­an semula, mereka tidak dapat melakukann­ya kerana tiada dana ... sebab itu pinjaman ini disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi pelakon veteran Abu Bakar Juah, 72, yang menghidap kanser hati di kediaman pelakon itu di Alam Damai, Cheras di sini hari ini, bersempena Program Ziarah Kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Pada lawatan itu, Saifuddin turut menyampaik­an sumbangan kepada Abu Bakar yang pernah menjawat jawatan Pengarah Penjara di Penjara Taiping sebelum bersara pada 2005.

Sementara itu, Saifuddin berkata kebenaran untuk industri perfileman beroperasi semula bukan hanya memanfaatk­an pemain industri tersebut tetapi turut membawa impak besar kepada ekonomi secara keseluruha­nnya.

“Yang lain juga akan mendapat manfaat, bila ada penggambar­an, ada keperluan untuk perkhidmat­an makanan dan pengangkut­an. Produksi filem dan drama ini memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang secara langsung,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia