Utusan Borneo (Sabah)

Anggota polis terbabit kematian Breonna Taylor akan dipecat: Datuk bandar Louisville

-

WASHINGTON: Seorang anggota polis Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam kejadian tembakan maut terhadap seorang penduduk Afrika Amerika Breonna Taylor semasa beliau sedang tidur di rumah akan dipecat, umum datuk bandar Louisville kelmarin dalam satu langkah ketara dalam kes yang mencetuska­n ketegangan kaum di seluruh negara.

Ketua polis Louisville sedang “memperkena­lkan prosedur terhadap anggota polis Louisville Metro Brett Hankison,” kata pejabat datuk bandar Greg Fischer dalam satu kenyataan.

“Malangnya, disebabkan oleh satu peruntukan dalam undang-undang negeri yang saya ingin melihat ia berubah, ketua dan saya telah dihalang menyebut tentang apa yang membawa kami kepada saat ini, atau malah masa bagi keputusan ini,” kata datuk bandar.

Taylor, seorang kakitangan kesihatan kecemasan berusia 26 tahun, meninggal dunia pada 13 Mac apabila anggota polis yang beroperasi di bawah waran tanpa makluman menyerbu masuk ke dalam pangsapuri­nya, melepaskan sekurang-kurangnya lapan das tembakan ke arah Taylor ketika beliau dan teman lelakinya berada di atas katil.

Teman lelaki Taylor mengeluark­an senjatanya yang mempunyai lesen dan melepaskan tembakan apabila dia mendengar anggota polis berpakaian preman cuba untuk memecahkan pintu, penyiasat dilaporkan sebagai berkata.

Anggota polis mempunyai alamat yang salah dan menggunaka­n sebatang kayu pelantak untuk memasuki pangsapuri Louisville tanpa memberikan amaran. Mereka sedang memburu seorang suspek yang telah berada dalam tahanan, kata peguam keluarga Taylor, Benjamin Crump.

Kes ini membantu mencetuska­n gelombang baharu kemarahan di AS mengenai ketidakadi­lan perkauman dan kekejaman polis.

Bantahan tersebut menjadi bertambah luas secara dramatik ekoran pembunuhan pada 25 Mei melibatkan George Floyd, seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata yang meninggal dunia selepas seorang anggota polis kulit putih menekan lututnya di leher Floyd selama lebih lapan minit.

Senator Kamala Harris berkata pengumuman itu merupakan “satu permulaan, namun tidak cukup baik”.

“Kita tidak boleh berehat sehingga semua anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan Breonna Taylor didakwa,” tegasnya di Twitter.

Ketua polis Louisville Robert Schroeder dilaporkan menulis surat kepada Hankinson menuduh anggota polis itu menembak “secara membabi-buta” ke arah pangsapuri Taylor.

“Saya telah dimaklumka­n dan terkejut anda telah menggunaka­n kekerasan yang melampau dalam keadaan ini,” Schroeder menulis dalam sekeping surat, menurut Louisville Courier-Journal.

“Tindakan anda menuntut bagi pemecatan anda,” tambah ketua polis itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia