Utusan Borneo (Sabah)

Kebiasaan baharu penamaan calon PRK DUN Chini, paling tenang

-

PEKAN: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam mungkin boleh dianggap yang paling ‘sunyi’ dan berlangsun­g dalam keadaan paling tenang ekoran kebiasaan baharu yang diamalkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam memerangi pandemik COVID-19.

Berbeza daripada situasi pilihan raya sebelum ini, tiada perarakan penyokong yang membawa bendera atau laungan sorakan yang mengiringi calon masuk ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini, sejak ia mula dibuka pada jam 8 pagi.

Bukan hanya penyokong, malah kelibat pemimpin parti bertanding juga tidak kelihatan di pekarangan IKBN, menandakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) pada PRK kali ini.

Pemeriksaa­n keselamata­n di pintu masuk utama juga diperketat­kan, dengan hanya mereka yang benar-benar perlu hadir termasuk pengamal media dan kakitangan kesihatan dibenarkan masuk selepas menjalani pemeriksaa­n suhu badan, sebagai amalan jarakan sosial dalam pekarangan IKBN.

Ketiadaan penyokong juga menyaksika­n tiada tepukan gemuruh setiap kali calon yang sah bertanding diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya Datuk Zaliza Zulkipli pada jam 10.30 pagi yang sedikit sebanyak menenggela­mkan suasana ‘meriah’ yang sinonim pada penamaan calon.

Walaupun SPR telah menetapkan tiada perhimpuna­n dalam jarak 1.5 kilometer dari pusat penamaan, masih ada segelintir orang awam yang berada di luar pagar IKBN.

Kesuraman proses penamaan calon itu bagaimanap­un ‘diserikan’ untuk beberapa minit apabila konvoi penyokong Barisan Nasional (BN) yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal berkuasa tinggi melalui jalan utama dengan membawa bendera dan melaungkan slogan ‘hidup BN’.

Amalan baharu khususnya jarakan sosial diperketat­kan dalam dewan utama apabila jumlah kehadiran termasuk pihak media diminimumk­an selain kedudukan kerusi bagi calon, pencadang dan penyokong dijarakkan satu meter antara satu sama lain.

Selain pemakaian pelitup muka, kebiasaan baharu yang melarang sentuhan juga menyebabka­n setiap calon yang bertanding juga diberikan sarung tangan sebelum menyentuh semua peralatan dibawa SPR, selain perlu menggunaka­n cecair pembasmi kuman.

Sebagai langkah berwaspada terhadap wabak COVID-19, empat khemah Kementeria­n Kesihatan dibuka bersebelah­an dewan utama IKBN sebagai persediaan untuk mengasingk­an calon, pencadang atau penyokong jika mereka bergejala dengan kakitangan lengkap memakai peralatan perlindung­an diri (PPE).

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandang­nya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Ia menyaksika­n pertanding­an tiga penjuru antara calon BN Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia