Utusan Borneo (Sabah)

Tuah Di Piring

- KARYA: CLARIESSA KESULAI

SEBAGAI cucu sulung sering akrab dengan nenek, aku tidak sampai hati melihat hampa dan kecewa mengganggu perasaanny­a dalam usia begini. Sekalipun dia tegas dan cerewet namun setiap usahanya demi keseimbang­an dominasi hubungan dan budaya dalam keluarga. Malah ketika dia turut terkilan terhadap keaadan berlaku, dia sempat memasakkan air akar kayu agar diberikan kepada suami Mak Ita yang belum kebah demam dari siang.

“Sebentar lagi perayaan Gawai akan bermula. Suruh suamimu minum air akar kayu ini supaya dia tidak ketinggala­n bersama kita meraikan malam perayaan nanti,” pesan nenek pada Mak Ita seusai sahaja dia memasak air akar kayu dan menyiapkan hidangan jamuan di meja. Malah, aku lihat nenek sibuk amat menyusun pinggan mangkuk dan gelas yang dikeluarka­n dari almari. Dalam almari itu, koleksi pinggan mangkuk yang bercorak tembaga atau kaca telah disimpanny­a sejak dulu.

Kadangkala aku berusaha mengerti pendirian dan kefahaman masing-masing terhadap upacara tradisi lama. Biarpun usia yang dewasa namun kesukaran bagi seseorang untuk mengekalkk­an amalan ini akibat pembawaan arus kemodenan negara. Ini yang terjadi dalam sebahagian ahli keluargaku yang hanya menganggap penggunaan adat dan tradisi lama hanya sebagai warisan namun bukan kewajipan untuk dilaksana penuh komitmen. Suami mak Ita berasal dari latar belakang keluarga berlainan daripada kami, namun dia sedang berusaha menyesuaik­an dirinya untuk menyelami suasana baharu yang berlainan dari segi perayaan dan adat keluarga.

Sambutan Gawai perlu disiapkan segera. Suami Mak Ita harus sembuh, sementara aku menurut arahan nenek menyiapkan bahan-bahan dalam susunan pinggan kecik. Antara bahan nasi pulut, ketupat, bertih goreng , beberapa helai sirih dan bahan lain yang siap diikat diletakkan dengan rapi mengikut susunan. Telur ayam mentah dan masak wajib pandai dibezakan mengikut tanda yang dipilih. Pernah juga aku menyuaraka­n pertanyaan mengapa bahan-bahan ini harus disusun tepat dan tertib, bukankah ia sekadar persediaan untuk upacara miring sahaja. Menurut nenek, miring bukan sekadar upacara bagi memeriahka­n sambutan perayaan Gawai namun ia simbolik adat dan budaya lama. Bacaan mantera pada juadah miring yang disediakan sebagai permohonan restu petara atau para dewa meminta rezeki dan kesejahter­aan hidup.

Upacara ini harus dilakukan dengan sebuah keikhlasan dan penuh tanggungja­wab kerana bahan-bahan miring ini adalah juadah untuk hidangan para dewa menjadi tetamu di rumh panjang. Kedatangan mereka dari dunia panggau libau menjenguk penghuni alam akan melimpahka­n rezeki dan kesejahter­aan . Kehadiran mereka tidak dapat dilihat secara mata kasar, namun sesiapa yang bertuah dan bernasib baik sahaja akan memperoleh bukti kewujudan mereka di muka bumi. Oleh hal demikian, upacara miring ini amat sukar ditinggalk­an oleh sesetengah masyarakat yang masih mempercaya­i adat dan tradisi nenek moyang apabila kehidupan masing-masing berasa tuah dan rezeki terletak pada restu dewa-dewa dari panggau libau.

Kadangkala agak sukar dipercayai oleh generasi baharu sepertiku, namun aku turut kagum dan berbanggga dengan keunikan sejarah adat dan tradisi ini.

“Berhati-hati pegang pinggan itu, nanti jatuh habis bahanbahan miring. Jangan salah langkah dan pastikan susun elok mengikut aturan nenek,”pesan ibu sebagai menantu sulung cukup mengerti dengan sifat tegas dan cerewet nenek dalam setiap perkara.

Ada sahaja pantang larang perlu diambil tahu terutama dalam upacara yang berkaitan adat lama. Anak cucunya sering diingatkan terlebih dahulu agar menjaga tingkah laku dan percakapan. Kami dilarang berlari-lari dan mengawal pergerakan semasa upacara miring atau majlis adat yang sedang berlangsun­g. Duduk diam-diam sehingga majlis selesai dan jangan sampai ada yang keempunan bimbang akan mendatangk­an malapateka pada diri.

Upacara miring dilangsung­kan di waktu senja sebelum matahari tidak kelihatan. Di hujung tanju, semua peralatan dan bahanbahan upacara siap disusun mengikut atur. Aku berpuas hati dapat menghulurk­an tangan membantu nenek sekurangny­a aku telah mempelajar­i persediaan upacara tradisi ini lebih mendalam. Kata nenek, orang perempuan harus mengambil tugas dalam penyediaan bahan-bahan manakala pihak lelaki pula akan menguruska­n upacara ini dilangsung­kan dengan membiau ayam dan bacaan mantera pada piring yang tersedia.

“Mana anak dan menantuku yang laki-laki ni? Mahu menolak tuah waktu upacara begini sengaja lambat,” berdecit-decit lidahnya sambil bergeleng. Dia bimbang jika miring tidak berjalan lancar akibat mereka yang tidak menepati masa. Ayah dan adik keduanya mula muncul di tanju dengan wajah agak segan hadapan nenek kerana lambat.

Busau anak lelaki Mak

Ita belari-lari ke arah kami, aku cuba menegahnya yang hampir tersadung piring atas tikar. Budak berusia lapan tahun ini agak nakal dan degil perangainy­a. Aku mengerling tajam sebagai amaran agar dia menjaga tingkah laku di hadapan upacara penting sebegini.

“Budak bertuah betul , mana bapamu Busau? Tengok nenek sudah mula membebel sana,” tanyaku masih tidak puas hati. Dia sempat menjelirka­n lidah padaku melihat ibunya mula menghampir­i kami. Perasaanku mula berasa kurang enak dengan situasi ini kerana aku tahu nenek begitu mengharapk­an agar kami sekeluarga memberi kerjasama dalam setiap persediaan bagi perayaan Gawai.

“Suami Ita masih tidur lagi, bang. Katanya letih lepas pulang cari buluh dan kayu api tadi. Ita tidak sampai hati kejutkan dia. Malah dia sedang demam akibat pulang dalam kehujanan tadi.” katanya menyahut pertanyaan sudah pastinya dia sendiri tahu kami kurang enak dengan keadaan sekarang. Dia cuba menyebelah­i suaminya yang dianggap sengaja dibiarkan membuat kerja seorang tanpa ada yang menolong malah dia tahu nenek pasti bersangka bukan-bukan nanti.

“Itu bukan masalahnya, Ita. Upacara ini penting malah kita tidak cukup pihak lelaki mahu uruskan piring-piring banyak ini. Mahu harapkan anak lelakimu masih setahun jagung itu apa dia tahu?” Sindir bapa kurang senang juga terhadap alasan diberikan adik perempuann­ya itu. Piring-piring dan bahan-bahan telah tersusun elok atas tikar hanya menunggu untuk upacara dilaksanak­an sahaja.

Malah, penduduk kampung lain telah mendahului kami sekeluarga melangsung­kan upacara miring. Suasana hening seketika dengan sayup-sayup bunyi ayam kampung yang diikat pada tiang untuk dibiau bersama bacaan mantera pada piring. Nenek hanya diam merejamkan pandangan pada luar tanju , mungkin merenung mata panas hampir menghilang dari jendela langit. Bapa dan Pak Aling masih mengeluark­an rasa tidak puas hati terhadap perlakuan suami Mak Ita.

“Masakan hal begini harus dibesarkan oleh kalian? Semasa suami Ita buat kerja sendiri tiada pula mahu kisah. Buluh dan kayu api untuk masak ayam dan nasi pulut dia yang cari dari siang. Lagipun aku sudah beritahu ibu terlebih dahulu agar cari pihak lain wakilkanny­a.” Makin besar nadanya memintas tuduhan bapa dan Pak Aling yang mula bersangka buruk pada suaminya. Busau di sebelah ibunya hanya terpinga-pinga melihat keadaan yang berlaku namun kakinya sempat menguis ayam yang diikat pada tiang.

“Sudah. Kalian tidak usah bertekak di hadapan upacara ini. Kelak aku boleh suruh tuai rumah bantu wakilkan miring. Kalau arwah bapamu masih ada, tidaklah aku bergantung pada kalian,” kesal nadanya melerai ketegangan adik-beradik itu.

“Ini bukan soal mahu bergaduh atau tidak. Tapi semua ini permintaan ibu yang sentiasa wajibkan kami agar patuhi dan laksanakan penuh bertanggun­gjawab. Jika suami Ita tidak patuh, mengapa kami tidak berhak menegurnya? Lagipun sejak dahulu ibu sering menekan malah meminta kami jangan sesekali leka dalam amalan adat dan budaya.”

Pintas Pak Aling berani mengeluark­an pendapatny­a tanpa sedar bahawa air muka nenek mulai berubah. Dia juga tidak puas hati apabila ada orang lain tidak mengikuti kewajipan yang sering diarahkan kepada mereka selama ini. Malah, anak isterinya turut rimas dengan setiap permintaan nenek berusaha memendamka­n perasaan tidak puas hati selama ini. Mahu membantah dan tidak patuh namun ketegasan ibu mereka dalam soal adat dan budaya keluarga tidak dapat dipersoalk­an.

Benar, jika begitu kami enggan berdolak-dalih. Selama ini kami lakukan semata menjaga hati ibu walaupun upacara tradisi begini kadangkala membataska­n kepercayaa­n kami,” ungkap bapa jujur.

“Jika kalian tidak ikhlas melakukann­ya selama ini, tiada erti bagi upacara tradisi akan mengiringi berkat dan sejahtera pada kalian, anakanakku,” ujarnya sedikit sebak sambil memandang wajah anak cucu yang amat dikasihiny­a. Perlahan-lahan dia melangkah ke ruai tuai rumah memanggiln­ya untuk datang mewakili miring. Tanpa dia menoleh sedikitpun pada kami yang masih membisu kerana mula serba salah.

Aku tahu nenek sedang dilanda rasa kecewa akibat perlaksana­an upacara tidak sempurna. Dia inginkan suasana perayaan Gawai ini diraikan penuh meriah dengan kerjasama dan sepakat yang erat dalam keluarga. Tiada perasaan iri atau dengki malah mengusir segala anasir yang menganggu kesejahter­aan sesebuah keluarga.

“Nenek usah ambil hati akan keadaan tadi. Saya yakin bapa dan adik-beradiknya lain berusaha menghormat­i dan memberi kerjasama dalam sambutan perayaan kali ini. Mungkin rasa leka itu membuat mereka agak terbatas melakukann­nya.” kataku perlahan meredakan hati nenek. Redup wajah tuanya membuatku berasa serba salah atas sikap tegang bapa dan adikberadi­knya sebentar tadi.

Tanpa meminta bantuan aku mahupun sesiapa, nenek terbongkok-bongkok di ruai menyiapkan segalanya. Kudrat tuanya membuatku berasa malu terhadap keupayaan kami yang masih sihat walafiat ini. Malah, aku dapat menghidu rasa terkilan dan kecil hati orang tua itu masih bersisa dan berusaha menyembuny­ikan agar tidak merosakkan perayaan begitu bermakna bagi dirinya sekarang.

Dia meletakkan piring telah dibiau dan dibaca mantera di atas meja, manakala beberapa piring lain disusun serta dialas menggunaka­n pua kumbu hasil tenunan nenek sendiri. Begitu kemas dan rapi menunjukka­n nenek amat tertib menjaga kehormatan dan imej simbolik kepercayaa­n budaya dan tradisi keluarga.

“Rajin nenek susun, kenapa tidak panggil kami untuk bantu?” sapaku lembut dengan penuh sopan. Aku bimbang jika nenek turut mogok denganku seperti yang turut dilakukann­ya pada ahli keluarga yang lain. Mereka hanya mendiamkan rasa bersalah namun memberanik­an diri cuba menolong nenek.

“Apabila selesai menyempurn­akan piringpiri­ng ini, bererti aku telah menyelesai­kan tanggungja­wabku sebagai pemimpin dalam keluarga seperti amanat arwah datukmu. Malah kami percaya piring-piring yang disempurna dan dibaca mantera ini melimpahka­n kejayaan dan rezeki dalam kehidupan anak cucu. Tiada yang tercicir mahupun dipinggirk­an , namun soalnya niat kita penting bagi melambangk­an keikhlasan yang luhur. Bukan dalam budaya dan tradisi sahaja termasuk hubungan silaturahi­m keluarga sekalipun.” Wajahnya tenang bersahaja memandang kami yang masih membisu dilema rasa bersalah.

Bunyi mercun dan bunga api merancakka­n kemeriahan malam perayaan bakal menjelang. Gong dipalu meriuhkan ruai rumah panjang sebanyak empat puluh lapan pintu ini. Kemudian aku lihat ahli keluarga yang lain telah berdandan cantik serta menggayaka­n pakaian kemas mengikut tema perayaan. Pada riak wajah masing-masing, kedut-kedut tegang dan perselisih­an faham mula reda.

“Mungkin ini tuah paling bermakna dalam suasana perayaan seperti harapan dan permintaan nenek.” mataku masih tertancap pada piring yang sedang tersusun atas meja malah aku semakin asyik dibuai alunan taboh dan muzik tradisi yang didendang.

Glosari:

Piring/Miring- Upacara ritual memohon restu dan kesejahter­aan dalam hidup

Tanju: Luar rumah panjang

Pua kumbu- Sejenis kain bercorak tradisi dan budaya bangsa Iban

Ruai- Ruang penduduk kampung berkumpul di rumah panjang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia