Utusan Borneo (Sabah)

‘Cif’ Sharim mahu bawa lebih banyak pembanguna­n ke Chini

-

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berazam membawa lebih banyak pembanguna­n bagi menjadikan kawasan DUN itu, yang sebahagian besarnya kawasan FELDA, setanding dengan tanah rancangan FELDA lain di negara ini.

Mohd Sharim, 41, berkata sebagai generasi kedua FELDA Chini 3, beliau berpandang­an masih ada perkara yang ‘boleh ditambah’ di kawasan ini, walaupun pelbagai perubahan telah dilakukan oleh Allahyarha­m Datuk Seri Abu Bakar Harun sejak mula menjadi wakil rakyat di situ pada tahun 2004.

Sebagai orang kanan Abu Bakar, Mohd Sharim kerap mendengar perancanga­n yang hendak dilakukan Allahyarha­m menyebabka­n beliau kini tekad mahu meneruskan legasi yang ditinggalk­an mentornya dalam bidang politik itu.

“Contohnya, saya mahu menyelesai­kan keluhan orang muda yang mahu lebih banyak mesin pengeluara­n wang automatik (ATM) di sini memandangk­an buat masa ini, hanya terdapat tiga sahaja mesin itu untuk kegunaan semua penduduk.

“Sekarang banyak urusan perbankan dilakukan secara dalam talian, termasuk pembayaran oleh FELDA. Jadi agak sukar untuk penduduk mengeluark­an wang dengan jumlah mesin yang terhad dan agak jauh,” katanya selepas tamat proses penamaan calon PRK DUN Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini, semalam. Pada PRK DUN Chini, Mohd Sharim ditentang dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga seorang penulis blog.

Walaupun dilihat berdepan dengan laluan mudah kerana hanya ditentang calon Bebas, Mohd Sharim yang lebih dikenali sebagai ‘cif’ dalam kalangan generasi muda FELDA Chini enggan mengambil mudah kerana sedar akan amanah daripada pucuk pimpinan BN yang sedang dipikulnya.

“Walaupun ada kekangan ekoran kebiasaan baharu kerana pandemik wabak COVID19, saya mahu memastikan kempen bukan hanya di kawasan FELDA, tetapi juga meliputi kampung tradisi dan kampung Orang Asli yang ada di sini,” katanya.

Beliau juga melihat faktor usia dan pembabitan­nya bersama Abu Bakar menjadi nilai tambah kepadanya untuk bertemu pengundi kerana mereka sudah biasa dan kerap melihatnya menguruska­n pelbagai program kemasyarak­atan di sekitar FELDA Chini termasuk program Pesta Lemang Chini yang menjadi tradisi tahunan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jentera parti akan mula digerakkan bagi memastikan kemenangan Mohd Sharim, walaupun pada awalnya mereka mengharapk­an tiada pertanding­an selepas Pakatan Harapan menyatakan tidak akan meletakkan calon.

Wan Rosdy, yang juga

Menteri Besar Pahang, juga mengingatk­an calon yang bertanding agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 berlaku disebabkan oleh PRK DUN Chini.

“Saya juga berharap calon Bebas dan penyokong mereka untuk mengamalka­n kempen secara sihat dan tidak melakukan perbuatan keji seperti membuat tohmahan dan fitnah semasa PRK ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandang­nya Abu Bakar, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14 lepas, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

SPR menetapkan PRK DUN Chini diadakan pada 4 Julai manakala 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal.

PRK Chini adalah pilihan raya kecil kali ke-11 diadakan sejak pilihan raya umum yang lepas dan yang pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Anggota PN terdiri daripada beberapa parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia