Utusan Borneo (Sabah)

100 hari penuh cabaran bagi Sabah membendung COVID-19

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Sabah mengharung­i pelbagai cabaran dan pengalaman sepanjang 100 hari berjuang membendung penularan wabak COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, sepanjang tempoh berkenaan, seramai 45 petugas kesihatan disahkan positif COVID19 manakala 700 orang lagi menjalani kuarantin di seluruh Sabah.

Menurutnya, cabaran mengawal jangkitan wabak berkenaan bukan sahaja dihadapi para petugas barisan hadapan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), malah rakyat Sabah secara keseluruha­nnya.

“Minggu-minggu awal penularan wabak COVID19 adalah tempoh yang sangat mencabar bagi semua pihak terutama JKNS kerana ia mencabar keupayaan fasiliti, makmal dan tenaga kerja JKNS.

“Wad khas COVID-19 di hospital berpakar juga dipenuhi dengan pesakit dan situasi itu memerlukan petugas kesihatan bekerja selama 24 jam.

“Malah, keupayaan makmal untuk menjalanka­n ujian pengesahan COVID19 juga amat terhad disebabkan kekurangan reagen,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, semua cabaran berjaya diatasi bersama dengan adanya kesepakata­n yang tinggi antara agensi yang ada.

Katanya, pelbagai agensi, syarikat dan orang ramai banyak membantu JKNS melalui sumbagan peralatan perlindung­an peribadi (PPE), reagen makmal, peralatan perubatan dan peralatan bukan perubatan serta makanan.

Christina turut berkata, sokongan terhadap petugas barisan hadapan ini berjaya menyuntik semangat untuk terus memberi yang terbaik dalam melakukan tugasan mereka.

Dalam pada itu katanya, Sabah merekodkan satu lagi kes baharu COVID-19 di Tuaran membabitka­n warga tempatan yang dijangkiti kerana mempunyai kontak dengan kes positif sebelum ini.

Sehubungan itu, pihaknya masih giat menjalanka­n aktiviti kawalan dan pencegahan menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Tuaran. Siasatan turut diperluask­an ke daerah Kota Kinabalu untuk mengesan kontak sosial dan rakan sekerja.

Menurutnya, sehingga 20 Jun 2020, sebanyak tujuh kes masih menjalani rawatan dan 349 kes lagi dilaporkan sembuh di Sabah.

 ??  ?? CHRISTINA
CHRISTINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia