Penganut Katolik mula rayakan misa, menyambut komuni
KENINGAU: Penganut Katolik di beberapa gereja di sini mula merayakan Misa Kudus semalam setelah dihentikan sejak Mac lalu.
Umat Gereja St Mary Bingkor mula beribadat dalam gereja setelah selama ini merayakan ibadat berkenaan secara dalam talian di rumah masing-masing.
“Sebelum mula membuka gereja untuk umat beribadat, pengurusan gereja membuat persediaan awal,” kata warden gereja Michael Ambrus Enggoh.
Menurut Michael persediaan yang dibuat ialah melatih tim pelayanan mengendalikan prosedur operasi standard (SOP), mendirikan kanopi di luar gereja untuk menempatkan peralatan, buku pendaftaran dan pemeriksaan suhu badan.
“Sesuai dengan peraturan norma baharu, umat yang hadir ke gereja dikehendaki mematuhi protokol yang ketat.
“Sebelum masuk ke dalam ruang sembayang, umat diwajibkan mencuci tangan dan memeriksa suhu badan serta memastikan penjarakan di antara satu dengan lain diutamakan,” katanya.
Menurut Micheal misa pagi semalam dikendalikan seorang Paderi.
Pada masa ini Misa Kudus di gereja berkenaan diadakan sebanyak empat kali secara bergilir-gilir mengikut giliran Komuniti Kristian Dasar (KKD) kawasan kampung masing-masing.
Umat juga berasa syukur kerana dapat menyambut sakramen komuni.
Sistem penggiliran umat diperkenalkan untuk memberi kesempatan kepada umat untuk datang ke gereja.
Bagaimanapun katanya, kebenaran diberikan hanya kepada mereka yang sihat, berumur dalam lingkungan 13-69 tahun.
“Manakala SOP tidak membenarkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun dan warga emas berumur 70 tahun untuk datang ke gereja.
“Sebagai umat kami maklum dengan protokol dan peraturan norma baharu yang agak ketat tapi tidak jadi masalah asalkan dapat beribadah dalam gereja,” katanya.