Utusan Borneo (Sabah)

600 ahli WARISAN Sepanggar keluar parti

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Seramai 600 ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) Bahagian Sepanggar bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaa­n terhadap kepimpinan WARISAN Sepanggar.

Sebanyak sembilan cawangan WARISAN Sepanggar terlibat dalam tindakan keluar parti berikutan kecewa dengan pengabaian kepimpinan Ketua WARISAN Sepanggar yang juga Ketua Wira WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman.

KetuaWiraw­atiWARISAN Bahagian Sepanggar Raisa Abd Ghaffur berkata, sebagai pejuang asal WARISAN Sepanggar, kebajikan pihaknya tidak pernah dipedulika­n dalam gerakan memperjuan­gkan parti.

Menurutnya, janji-janji pihak kepimpinan untuk menjaga kebajikan ahli selaku pejuang parti daripada mula penubuhan hanya cakap kosong sebagaiman­a rakyat kawasan Sepanggar yang dikecewaka­n WARISAN.

“Mereka harus ingat pemimpin itu dipilih oleh rakyat dan kedudukan mereka sekarang ini juga ditentukan oleh rakyat.

“Justeru, saya yang dilantik secara sah sebagai Ketua Wirawati WARISAN Sepanggar bersama ahli yang lain tidak lagi bersama WARISAN bermula hari ini (21 Jun),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, sebagai aktivis di kawasan Sepanggar, pihaknya akan meneruskan usaha menyantuni rakyat dan menjadi suara rakyat melalui medium pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Raisa berkata, mungkin dengan cara sedemikian, suara mereka akan lebih didengari serta dapat berkhidmat dengan penuh berintegri­ti.

“Tindakan kami ini tidak dipaksa dan dipengaruh­i oleh mana-mana pihak,” jelasnya.

Turut hadir pada sidang media itu, Naib Ketua Wirawati Bahagian Sepanggar Fiuanah Sarama, Setiausaha Wirawati Bahagian Sepanggar Fazilah Rosli, Bendahari Wirawati Bahagian Sepanggar Satra Nur Izman, dan Ketua Penerangan Wirawati Bahagian Sepanggar Berlinda Ibrahim.

 ??  ?? KELUAR PARTI: Raisa (tengah) bersama ahli WARISAN Bahagian Sepanggar yang hadir pada sidang media itu.
KELUAR PARTI: Raisa (tengah) bersama ahli WARISAN Bahagian Sepanggar yang hadir pada sidang media itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia