Utusan Borneo (Sabah)

2,000 ahli PKR cabang Kalabakan keluar parti

- Oleh Hamzah Sanudin

KALABAKAN: Kira-kira 2,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kalabakan pelbagai jawatan bertindak keluar parti, di sini kelmarin.

Majlis keluar parti beramai-ramai itu dilakukan di Dewan Kg. Kijang Merotai yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Kalabakan Mohd Jailani Chachu.

Mereka yang terlibat termasuk ahli jawatankua­sa (AJK), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pimpinan wanita cabang.

Menurut Mohd Jailani, keputusan keluar PKR diambil ekoran hilang kepercayaa­n kepada parti berkenaan yang tersasar jauh dari landasan perjuangan untuk melakukan reformasi membela nasib rakyat.

“Duduk dalam PKR ketika ini tidak dapat memberi bantuan kepada rakyat, paling dahsyat selama 22 bulan kita memerintah pemimpin tertinggi di peringkat Pusat asyik sibuk dengan bila tarikh peralihan kuasa.

“Sehingga hari ini mereka masih lagi berebut untuk menjadi Perdana Menteri antara Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Datuk Seri Anwar (Anwar Ibrahim) jadi sampai bila, jika ini berterusan PKR gagal mengurus tadbir negara,” katanya.

Jelasnya, tindakan itu adalah atas kerelaan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak dan ekoran pimpinan atasan PKR yang hanya mementingk­an agenda peribadi dan menjaga kelompok tertentu.

“Keputusan yang kami ambil ini juga sebagai tanda solidariti dan kebersamaa­n kami kepada mantan Ketua AMK Kalabakan Asis Bakri yang dipecat pada bulan April lepas tanpa asas yang kukuh,” katanya.

Sementara itu Setiausaha PKR Cabang Kalabakan Samsir Bakri berkata, dengan tindakan mereka yang keluar parti itu tidak bermakna berhenti dalam menyantuni dan memperjuan­g nasib masyarakat.

Sebaliknya beliau berkata, kesemua mereka akan bergerak dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Azmin Ali dan mantan pimpinan PKR yang berada di blok kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

“Sokongan tidak berbelah bahagi juga kami nyatakan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Naib Ketua Cabang PKR Kalabakan Ahmad Yani Djabir pula berkata, tindakan keluar parti itu tepat ekoran PKR tidak lagi relevan dalam memperjuan­gkan nasib rakyat sebaliknya hanya ingin melihat Datuk Seri Anwar mengambil alih tampuk pimpinan.

 ??  ?? SIMBOLIK: Semua Ahli PKR Cabang Kalabakan yang keluar parti meletakkan lencana PKR sebagai simbolik keluar parti.
SIMBOLIK: Semua Ahli PKR Cabang Kalabakan yang keluar parti meletakkan lencana PKR sebagai simbolik keluar parti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia