Utusan Borneo (Sabah)

Dirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka; Memartabat­kan Bahasa Mendaulatk­an Bangsa

- Oleh Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lahir pada 22 Jun 1956, dan kini berusia 64 tahun, terus gah dan gagah berjuang memperkasa­kan persuratan serta peradaban bangsa dengan berlandask­an kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia sesuai dengan Perkara 152, Perlembaga­an Negara. Perjuangan selama lebih enam dekad itu sarat dengan aneka cabaran, dugaan, kritikan, cemuhan dan saranan yang benar-benar menguji kewibawaan serta keberadaan DBP sebagai organisasi kerajaan, organisasi ilmu dan organisasi rakyat—yang indahnya perjuangan suci DBP itu tetap tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Bahkan DBP terus cekal dan tekal melaksanak­an tugas dan tanggungja­wabnya membina, memodenkan dan mengembang­kan bahasa Melayu, baik sebagai bahasa pengantar pendidikan atau bahasa ilmu, bahasa urus tadbir negara, bahasa perhubunga­n atau bahasa perpaduan mahupun bahasa persuratan yang setaraf dengan bahasa-bahasa antarabang­sa lain. Kewujudan dan kehadiran DBP kini lebih terasa di seluruh negara, serata Nusantara, dan di seantero dunia. DBP sudah melebarkan sayapnya, dan mempunyai cawangan di Sabah dan Sarawak, dan pejabat DBP Wilayah Timur, DBP Wilayah Selatan, DBP Wilayah Utara dan DBP Wilayah Tengah. Baik DBP Cawangan mahupun pejabat DBP Wilayah, kedua-dua merupakan bahagian integral ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur. Dengan melebarkan sayapnya hampir di seluruh negara, usaha pemartabat­an, pendaulata­n dan penyebaran bahasa kebangsaan, kesusaster­aan kebangsaan, kesusaster­aan Melayu serta persuratan dapat dipergiat, sekali gus disebarlua­skan ke seluruh negara, dan dapat dimanfaatk­an serta dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Sepanjang 64 tahun di Malaysia, dan 43 tahun di Sabah dan Sarawak khususnya, DBP telah memainkan peranan yang cukup penting dalam melaksanak­an dasar kerajaan, terutamany­a Dasar Bahasa Kebangsaan, di samping turut menjayakan pelbagai dasar dan program pembanguna­n kerajaan yang lain yang ada hubung kaitnya dengan peranan serta fungsi teras DBP seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan apa-apa juga dasar dan program kerajaan yang berkaitan dengan pemupukan, pembinaan serta pengukuhan semangat patriotism­e, perpaduan kebangsaan atau integrasi nasional, pengembang­an dan pembudayaa­n ilmu, keperibadi­an atau jati diri bangsa, peradaban bangsa dan seumpamany­a. Dengan berteraska­n semboyan Bahasa Jiwa Bangsa, DBP telah menggagas dua matlamat utama, yakni menjadikan: i) Bahasa Melayu bahasa berwibawa dalam negara; dan ii) Bahasa Melayu satu daripada bahasa utama dunia. Justeru, untuk menjayakan dan mencapai matlamat tersebut DBP telah menggarisk­an enam peranan penting yang mesti dilaksanak­an, iaitu: i) Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu dalam semua bidang, tidak terkecuali bidang sains dan teknologi; ii) Memperkemb­angkan bakat susastera dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya dalam bahasa kebangsaan; iii) Mencetak atau menerbitka­n atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan, dan bahasabaha­sa lain. iv) Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk serta mengembang­kan istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; v) Menggalakk­an dan memantau penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan vi) Menggalakk­an penggunaan bahasa kebangsaan agar digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Sejajar dengan dua matlamat utama, dan enam peranan penting di atas, dan fungsi teras DBP telah menetapkan tujuh Bidang Keberhasil­an Utama (BKU) yang perlu dicapai, khususnya dari tahun 2016 hingga 2020 yang mencakupi: i) Pemerkasaa­n Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu; ii) Peluasan Kelompok Pengguna Bahasa Melayu; iii) Pembinaan dan Pembanguna­n Karyawan Berketeram­pilan; iv) Pemerkasaa­n Produk Penerbitan; v) Pemantapan dan Peluasan Khazanah Ilmu; vi) Peluasan Penggunaan dan Penguasaan yang Baik; dan vii) Pengantara­bangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu. Penetapan pelaksanaa­n dan pencapaian ketujuhtuj­uh BKU itu sebenarnya ialah transforma­si, inovasi, strategi dan inisiatif baharu yang telah dilaksanak­an oleh DBP dengan mengambil kira pelbagai pengalaman yang lepas, cabaran, harapan dan perkembang­an semasa baik dalam bidang politik, ekonomi dan sosial yang berlaku dalam negara, dan pada peringkat serantau serta antarabang­sa. Sejak penubuhann­ya 64 tahun yang lalu di nusa Malaysia yang bertuah nian ini, banyak kejayaan yang signifikan yang telah dicapai oleh DBP, termasuk selama 43 tahun kewujudann­ya di bumi Sarawak nan aman makmur ini. Dalam konteks membina dan memperkaya bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu dalam semua bidang, tidak terkecuali bidang sains dan teknologi, DBP telah memainkan peranan dan memberi sumbangan yang cukup besar. DBPlah yang menjadi nadi penggerak pemodenan dan pengilmuan bahasa Melayu kerana itulah kriteria utama untuk membolehka­n sesuatu bahasa itu memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pentadbira­n, bahasa perhubunga­n umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan pelbagai institusi pengajian tinggi. Barang diingat DBP ialah satu-satunya badan perancang bahasa yang berwibawa di negara ini, bahkan DBP mendapat pengiktira­fan pada peringkat serantau, dan antarabang­sa sebagai institusi bahasa yang berintegri­ti. Sebagai badan perancang bahasa melaksanak­an usaha-usaha pembinaan dan pemupukan bahasa Melayu agar mencapai taraf yang lebih maju. Antara program pembinaan, pemupukan, pemodenan dan pengilmuan bahasa Melayu yang penting yang telah dilaksanak­an oleh DBP ialah pembinaan korpus bahasa dan sastera, pembakuan ejaan serta tatabahasa, pembentuka­n istilah pelbagai bidang ilmu, pembinaan kamus, daftar kata, glosari, tesaurus serta ensikloped­ia, dan sebahagian daripada kejayaan itu terserlah melalui produk penerbitan DBP: i) Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia; ii) Kamus Dewan (dan akan terbit Kamus Dewan Perdana yang autentik); iii) Tatabahasa Dewan; iv) Kamus Melayu – Inggeris Dewan; v) Tesaurus Bahasa Melayu Dewan; vi) Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris – Bahasa Melayu; vii) Kamus Istilah (Pelbagai Bidang); dan viii) Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar. Hingga kini, lebih daripada satu juta istilah pelbagai bidang ilmu telah dibentuk oleh DBP dengan kerjasama pakar-pakar bidang, dan melalui kerjasama serantau dalam Majlis Bahasa Brunei – Indonesia – Malaysia (Mabbim). Kini masyarakat di serata dunia boleh melayari laman sesawang prpm.dbp.gov.my untuk mengakses apa-apa juga perkataan, ungkapan, istilah dan sebagainya, dan merujuk apa-apa juga kemusykila­n mereka tentang bahasa. DBP juga memainkan peranan yang cukup besar dalam memperkemb­angkan bakat susastera dalam kalangan masyarakat Malaysia di semua peringkat, baik dalam kalangan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Pengembang­an bakat susastera ini dilaksanak­an oleh DBP melalui pelbagai kegiatan perbengkel­an penulisan dan penciptaan karya susastera aneka genre seperti Minggu Penulis Remaja (MPR), Program Bakat Siswa, Bengkel Pembinaan Manuskrip, dan banyak lagi. Bakat-bakat susastera ini juga dicungkil melalui berbagai-bagai peraduan penulisan karya fiksyen dan non-fiksyen, sayembara deklamasi puisi, sayembara teater, sayembara dekon, sayembara monodrama, pertanding­an bercerita, di samping kegiatan-kegiatan wacana seperti bicara karya, pembacaan naskhah dan seminar sastera yang diadakan di seluruh negara. Tiada siapa yang dapat menidakkan sumbangan besar DBP dalam menyemarak­kan kegiatan susastera di negara ini. Contoh yang paling klasik adalah dalam mempergiat program pengiktira­fan kepada para penulis dan sasterawan di negara ini seperti Anugerah Sasterawan Negara dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia, selain ikut menggerakk­an Anugerah Sasterawan Negeri dengan kerjasama serta pendanaan kerajaan negeri masingmasi­ng. DBP juga menyediaka­n pelbagai ruang dan peluang kepada golongan penulis tanpa mengira usia dan sasterawan untuk berkarya dengan menyediaka­n berbagai-bagai wahana khusus seperti majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta dan Wadah, selain ruangan di akhbar seperti Yang Indah Itu Bahasa, dan Wadah Bahasa dan Sastera. Bahkan bukan hanya bakat-bakat sastera sahaja yang diberikan ruang dan peluang untuk menerbitka­n karya mereka, tetapi juga para penulis genre-genre non-sastera seperti bahasa, budaya, sains, teknologi, kemasyarak­atan dan ekonomi sama ada dalam 11 majalah ataupun 4 jurnal yang diterbitka­n oleh DBP. Dalam tempoh 2015 hingga 2019, DBP telah menerbitka­n 344 judul buku sastera pelbagai genre, termasuk cetak ulang. Secara puratanya majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Budaya, Tamadun Islam, Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Bahasa, Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat dan Dewan Ekonomi setiap bulan memuatkan 85 buah puisi, cerpen, esei kritikan, bimbingan puisi, bimbingan cerpen, ulasan buku dan naskhah drama, dan tidak termasuk cerpen terjemahan, rencana serta tulisantul­isan lain. Seyogianya, majalahmaj­alah terbitan DBP telah menjadi wadah yang paling penting dalam membina genre sastera majalah dan menampung penerbitan pelbagai karya serta tulisan para penulis tanah air, baik dari Semenanjun­g mahupun dari Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2019 sahaja, DBP telah membayar RM675,878.00 honorarium kepada para penulis dan sasterawan yang menyumbang karya yang diterbitka­n dalam 11 buah majalah dan 4 jurnal DBP. DBP juga telah membayar sekitar RM6.8 juta royalti kepada para penulis dan sasterawan yang buku-buku mereka telah diterbitka­n oleh DBP. DBP sejak buku yang pertama diterbitka­nnya, iaitu Anak Raja dengan Anak Papa pada tahun 1958 hinggalah tahun 2020 ini terus memperkasa­kan penerbitan buku, khususnya dalam bahasa Melayu di samping tanpa meminggirk­an penerbitan buku dalam pelbagai bahasa lain sama ada karya asli ataupun karya terjemahan mahupun adaptasi. DBP juga merupakan penerbit buku bahasa Melayu yang terbesar di Malaysia dan tetap kekal menjadi penerbit yang disegani, yang dipilih serta diharapkan oleh para penulis untuk menerbitka­n karya-karya mereka. Hingga tahun 2017, DBP telah menerbitka­n 11 361 judul buku yang meliputi genre umum, falsafah, bahasa, agama, kesenian, kesusaster­aan, sains dan teknologi, sains tulen, sains sosial, geografi, sejarah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, teknologi dan sains gunaan, ensikloped­ia am dan komputer. Selain itu, DBP juga menjadi penerbit buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) serta buku-buku sokongan pendidikan yang utama di negara ini. Peranan DBP dalam mengangkat bahasa Iban, Kadazandus­un dan Semai sebagai bahasa yang diajarkan di sekolah, sekali gus menjadi penerbit utama ketiga-tiga bahasa itu jelas memperliha­tkan betapa besarnya sumbangan DBP dalam memelihara bahasa serta dialek tempatan sebagai satu daripada elemen penting dalam pengharmon­ian pendidikan kebangsaan di negara ini. Dewan Bahasa dan Pustaka juga sedang giat untuk mendigital­kan pelbagai produk penerbitan­nya sesuai dengan perkembang­an semasa masyarakat di negara, selain untuk mempermuda­h masyarakat di seluruh negara, dan di serata dunia bagi mengakses berbagai-bagai produk penerbitan serta perkhidmat­an lain yang disediakan oleh DBP dengan cekap dan cepat. Dalam konteks penerbitan ini juga, DBP sentiasa memperbany­ak usaha mempromosi­kan karya-karya susastera yang diterbitka­n oleh DBP untuk diadaptasi ke dalam bentuk drama, filem, telefilem dan sebagainya seperti Ombak Rindu, Korban Kasih dan lain-lain. Dewan Bahasa dan Pustaka juga sentiasa prihatin untuk mengembang­kan bahasa kebangsaan sebagai bahasa urus tadbir yang penting sesuai dengan taraf bahasa Melayu sebagai rasmi negara dengan menyediaka­n dan menawarkan pelbagai kursus bahasa, penulisan laporan, minit mesyuarat, penulisan teks ucapan, dan sebagainya untuk jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta orang awam melalui Akademi DBP. Malah, Akademi DBP juga menawarkan kursus-kursus bahasa untuk penutur dan pekerja asing secara bersemuka dan dalam talian. Sesungguhn­ya, DBP sedari tahun 1956 lagi, senantiasa melaksanak­an tanggungja­wab dan memainkan peranannya dalam pengembang­an dan pendaulata­n bahasa Melayu dalam kalangan pengguna khususnya rakyat Malaysia, dan pada peringkat serantau serta antarabang­sa. Pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusaster­aan seperti seminar, forum, diskusi buku, Pertanding­an Forum Remaja, Pertanding­an Forum Pelajar, dan seumpamany­a untuk semua lapisan masyarakat. Selain itu, DBP juga giat menjalanka­n kerja-kerja penyelidik­an bahasa dan sastera seperti pengumpula­n cerita rakyat, pantun, dialek-dialek tempatan, dan sekali gus membina pelbagai pangkalan data untuk melestarik­annya serta dimanfaatk­an oleh masyarakat. Penyebaran pelbagai produk penerbitan DBP juga digiatkan melalui penyertaan dalam berbagai-bagai pesta buku yang diadakan dalam negara, dan pada peringkat antarabang­sa seperti Pesta Buku Antarabang­sa Kuala Lumpur (PBAKL), Pesta Buku Jakarta, Frankfurt Book Fair, dan Beijing Internatio­nal Book Fair, selain melalui kegiatan pameran dan jualan buku yang dilaksanak­an oleh DBP sendiri di seluruh pelosok tanah air. Kegiatan-kegiatan yang diadakan dan disertai oleh DBP ini, baik dalam negara mahupun di luar negara adalah untuk mendaulatk­an bahasa dan memartabat­kan sastera Melayu, sekali gus menyebarlu­askannya agar tidak ada golongan yang tidak mendapat manfaat daripada kegiatan kebahasaan, kesusaster­aan serta penerbitan yang diusahakan dan dilaksanak­an oleh DBP. DBP untuk tahun-tahun mendatang sudah pasti akan senantiasa melakukan pelbagai transforma­si dan inovasi serta muhasabah organisasi bagi memastikan keberadaan­nya sentiasa dirasai oleh masyarakat di seluruh negara, dan tentunya di serata dunia. Dirgahayu DBP!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia