Utusan Borneo (Sabah)

Dua beranak maut, tiga lagi cedera parah dalam kemalangan

-

KEPALA BATAS: Dua beranak maut manakala tiga lagi ahli keluarga mereka cedera parah selepas kereta jenis Perodua Exora dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam empat meter dalam kemalangan di Kilometer 119, Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di Bertam di sini malam kelmarin.

Mangsa, yang juga pemandu kereta, Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, dan ibunya Rusnah Osman, 60, penumpang di bahagian belakang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kemalangan kira-kira jam 10.45 malam itu, dua lagi anak Rusnah, Mohd Fairus, 36, dan Muhammad Faizul, 30, serta cucu wanita tersebut, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, cedera parah.

“Berdasarka­n siasatan awal, keluarga itu dari Taiping, Perak dan dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah untuk menziarah ahli keluarga mereka di sana dan sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dinaiki telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya tersebut.

“Kereta itu kemudianny­a telah terjatuh ke dalam parit besar sedalam empat meter sebelum kesemua lima penumpang kenderaan tersebut terperangk­ap dan dua daripada mereka berjaya diselamatk­an oleh pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Noorzainy berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluark­an tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.

“Mohd Fairus yang cedera parah di kaki serta tangan dan anak saudaranya Muhammad Faizureen menerima rawatan di Hospital Kepala Batas manakala seorang lagi Muhammad Faizul cedera di kaki dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu diminta menghubung­i pihak polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia