Utusan Borneo (Sabah)

PKP: Pengusaha pelamin ‘bidan terjun’ jual kambing perap

-

KUALA BERANG: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu ungkapan yang sesuai buat dua belia yang menjadi ‘bidan terjun’ sebagai pengusaha kambing perap demi kelangsung­an hidup selepas pelanggan membatalka­n tempahan pelamin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanak­an.

Mohd Rizduan Mat Lela, 31, dan rakannya Saiful Hakim Rozmi, 26, dari Felda Jerangau Barat, Ajil, Terengganu yang merupakan pengusaha pelamin perkahwina­n berkata beliau dan rakannya terpaksa mengubah kerjaya selepas mengalami kerugian susulan ramai pelanggann­ya yang membatalka­n tempahan pelamin untuk majlis Mac hingga Disember tahun ini.

“Masa PKP diumumkan pada Mac, memang rasa agak sedih dan tertekan bila lebih 30 pelanggan membatalka­n tempahan pelamin dan baju sebab majlis perkahwina­n tak dapat dilangsung­kan. Untuk pelanggan yang membuat tempahan khas baju pengantin, kami terpaksa tanggung kerugian hampir RM2,000 hingga RM3,000 untuk seorang pelanggan sebab baju kami tempah dengan tukang jahit.

“Memang agak runsing memikirkan duit sebab wang simpanan pun dah habis. Saya dan rakan saya ada komitmen masing-masing. Nak belanja makan pun terpaksa berjimat,” katanya kepada Bernama.

Tidak mahu terus berputus asa dan hanya bergantung pada takdir, Mohd Rizduan yang mempunyai minat dalam bidang masakan mencuba nasib mengusahak­an perniagaan kambing perap bagi mencari duit poket, bermula April lalu.

“Sebelum ni, saya memang minat memasak dan pernah juga menjual kek secara kecilkecil­an selepas tamat sekolah. Idea untuk jual kambing perap ini timbul selepas saya dan rakan membeli kambing bakar di sebuah gerai yang harganya agak mahal, tetapi tidak berpadanan dengan harga kerana isinya hanya sedikit.

“Biasanya, di pasar malam kambing bakar mahal harganya tetapi isinya hanya dapat sedikit. Jadi, saya buat keputusan untuk jual dengan harga yang berpatutan dan ia dapat dinikmati sekeluarga,” katanya yang menjual kambing yang telah diperap dengan harga RM40 sekilogram.

Mohd Rizduan berkata untuk menghasilk­an perapan kambing yang enak, beliau menggunaka­n ramuan tersendiri termasuk beberapa jenis sos dan rempah ratus.

Beliau menggunaka­n platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram serta aplikasi WhatsApp untuk mendapatka­n pelanggan sebelum membuat khidmat penghantar­an ke beberapa daerah di Terengganu termasuk Dungun, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Rezeki PKP, ramai juga pelanggan yang rindukan lamb chop di restoran, beli kambing perap untuk makan bersama keluarga di rumah sebab masih ramai orang memilih untuk makan di rumah walaupun dah boleh makan di luar.

“Mungkin ini hikmah di sebalik PKP, selepas ini jika keadaan kembali pulih (menerima tempahan pelamin), insya-Allah saya akan buat dua perniagaan dalam satu masa. Bolehlah jadikan pendapatan sampingan. Sambil buat pelamin, boleh jual kambing perap,” katanya yang menjual sehingga 15 kilogram kambing perap sehari. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia