Utusan Borneo (Sabah)

Masjid Singapura sambung semula solat Jumaat mulai 26 Jun: MUIS

-

SINGAPURA: Masjid di Singapura akan menyambung semula solat Jumaat dan solat berjemaah setiap hari mulai 26 Jun, dengan maksimum 50 jemaah setiap sesi di setiap masjid.

Dalam laman webnya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memaklumka­n pihaknya akan terus mengambil pendekatan berhati-hati untuk memastikan masjid-masjid kekal selamat dan mematuhi sepenuhnya garis panduan nasional.

Menurut MUIS, bagi membolehka­n lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, dua sesi setengah jam akan diadakan setiap Jumaat, dengan selang 30 minit rehat di antara keduadua sesi untuk memastikan pengurusan orang ramai yang selamat.

Khutbah dan solat akan dipendekka­n kepada maksimum 20 minit, katanya.

Selain solat Jumaat dan solat berjemaah setiap hari, MUIS memaklumka­n ibadah secara bersendiri­an di luar sesi solat berjemaah akan terus dibolehkan, namun tertakluk juga kepada had 50 orang pada satu-satu masa.

Menurut MUIS, pihaknya telah membangunk­an sistem penempahan solat di masjid dalam talian untuk menguruska­n permintaan selain memastikan pelaksanaa­n teratur solat berjemaah.

Sistem berkenaan membolehka­n tempahan ruang solat tersedia untuk solat berjemaah setiap hari dan Jumaat, jelasnya.

Bagi membolehka­n lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat mereka, sistem itu akan mengehadka­n jumlah tempahan yang dapat dilakukan oleh individu untuk solat Jumaat hanya untuk satu tempahan dalam jangka waktu tiga minggu.

Singapura memasuki Fasa Kedua pembukaan semula pada 19 Jun dengan pelonggara­n sekatan yang dikenakan untuk mengekang penyebaran COVID-19. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia