Utusan Borneo (Sabah)

UMNO Sabah terbuka bincang hadapi PRN bagi perolehi kemenangan

- Oleh Yusop Teppo

SANDAKAN: Pengerusi UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata UMNO Sabah terbuka untuk mengadakan perbincang­an dengan mana-mana parti dan Tan Sri Musa Aman bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Bagaimanap­un, terlebih dahulu UMNO Sabah akan mengadakan mesyuarat pada esok (Ahad) bagi membincang­kan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua hari lepas.

Zahid menyebut sebarang pertimbang­an UMNO berhubung PRN Sabah akan dibincang bersama pemimpin di negeri itu kerana UMNO Sabah sudah diberi kuasa autonomi.

“UMNO Sabah sudah diberi kuasa autonomi, maka sesuatu pertimbang­an akan dibincang dengan pemimpin UMNO negeri dan (bekas Ketua Menteri) Tan Sri Musa Aman sendiri,” kata Zahid.

Dalam pada itu, Bung Moktar menegaskan selepas mesyuarat UMNO Sabah itu dan seterusnya barulah pihaknya membuat perancanga­n serta mengadakan perbincang­an bersama semua pihak.

“Perkara ini kita teliti dahulu, ke mana arah alah tuju UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN kali ini,” katanya.

Bung Moktar berkata, PRN kali ini amat luar biasa di mana bukannya dibubar setiap lima tahun tetapi jangka masa singkat.

“Jadi dalam keadaan begini, semua parti termasuk UMNO dan BN perlu menyusun strategi yang lebih baik dan tersusun.

“Kita perlu mencari pendekatan dengan mendekati jiwa rakyat sebab pengundi hari ini bukan lagi boleh diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak dan mereka telah melalui zaman perintahan BN, Parti Bersatu Sabah dan WARISAN,” katanya.

Beliau menjelaska­n pihaknya perlu memiliki pendekatan baharu yang boleh meyakinkan rakyat untuk menyokong dan mengundi parti masing-masing.

Ditanya mengenai persiapan UMNO Sabah, Bung Moktar berkata UMNO Sabah telah lama bersiap sedia menghadapi pilih raya.

“Cuma kita tidak pergi 100 peratus, kita tidak menjangka ada PRN dalam masa singkat ini. Kita hanya fokus di peringkat Pilihan Raya Umum yang diadakan serentak dengan negeri.

“Jadi nampak gayanya, apa yang kita rancang, perancanga­n Allah juga yang tepat,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata sama ada telah siap sedia atau tidak, pihaknya tiada pilihan untuk berhadapan dengan PRN ini.

“Apa yang perlu kita buat adalah untuk mengutamak­an apa yang perlu diutamakan seperti perkukuhka­n jentera di bawah, mengenal pasti kawasan dan mengumumka­n calon-calon yang boleh menang serta diterima rakyat,” katanya.

 ??  ?? BUNG MOKTAR
BUNG MOKTAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia