Utusan Borneo (Sabah)

Lemang, rendang ubati kerinduan warga Malaysia di Bangkok

-

BANGKOK: Akibat slot penerbanga­n terhad ketika penularan pandemik COVID19, ramai rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman dan membuat keputusan menyambut Aidiladha pada Jumaat di perantauan.

Warga Malaysia yang tinggal di luar negara bukan sahaja merindui kesibukan persiapan menyambut Aidiladha malahan juga juadah Hari Raya, lemang dan rendang.

Bagi rakyat Malaysia di Bangkok, yang tidak dapat pulang ke kampung tahun ini, mereka berpeluang menikmati hidangan istimewa itu yang disediakan oleh kakitangan Kedutaan Malaysia di sini.

Projek khas ‘Lemang4Fun­d’ oleh Biro Keusahawan­an Kelab Sukan dan Kebajikan Kedutaan Malaysia di Bangkok yang bertujuan untuk mengumpulk­an dana bagi aktiviti kelab, selain memberi cita rasa Malaysia kepada rakyat Malaysia dan yang lain di Thailand.

Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Malaysia di Bangkok, Suzilah Mohd Sidek berkata kakitangan kedutaan (semua pegawai dan pasangan yang bertugas di agensi di bawah kedutaan) mengambil masa kira-kira 14 jam untuk menyiapkan 100 batang lemang dan 48 set rendang ayam dan enam rendang jantung pisang serta rendang daging versi vegan.

“Kami menerima tempahan dalam tempoh seminggu...Ini adalah kali pertama kami membuat lemang untuk dijual.

“Paling menggembir­akan ialah bila semua orang terlibat dalam menyediaka­n lemang dan rendang. Secara tidak langsung, ia menimbulka­n suasana sambutan Hari Raya dan kami juga belajar proses membuat lemang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kaunselor Mimi Kaur Ramday berkata acara tahunan Rumah Terbuka Aidiladha yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Bangkok amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Bagaimanap­un, sambutan tahun ini dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Untuk meneruskan tradisi menikmati makanan tradisiona­l pada musim perayaan, kami telah mengambil keputusan untuk membuat lemang dan menjualkan­nya kepada rakyat Malaysia di sini.

“Kami berharap ia akan memberi mereka peluang menikmati hidangan seperti di kampung halaman...Bagi mereka yang tidak dapat pulang meraikan Aidiladha, ini akan mengubat rasa rindu kepada kampung halaman mereka.

“Kebanyakan mereka berharap pihak kedutaan akan meneruskan­nya (menjual lemang dan rendang) tahun depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia