Utusan Borneo (Sabah)

Jangan terlalu banyak main politik, nasihat Azmin Ali

-

KUALA PILAH: Menteri Kanan yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menasihati pihak yang berkenaan agar tidak terlalu banyak ‘bermain politik’ kerana fokus kerajaan sekarang ialah kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya pihak yang berkaitan juga harus mencontohi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak begitu banyak berbicara mengenai politik memandangk­an keutamaan beliau ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan kesihatan rakyat.

“Kita hari ini meletakkan isu kesihatan rakyat dan isu ekonomi sebagai fokus ... jangan main politik banyak sangat sebab rakyat perlu pembelaan dan ini juga fokus perdana menteri, beliau jarang sebut tentang politik kerana mandat yang diberikan kepadanya ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan selamatkan rakyat daripada diserang wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas program Korban

Perdana Penggerak Komuniti Negara di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin juga menegaskan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaska­n kerajaan semasa.

Ini kerana katanya UMNO kekal mendukung kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui kerajaan persekutua­n di bawah PN.

PN merupakan kerjasama politik melibatkan BERSATU, UMNO, PAS serta parti komponen Barisan Nasional selain disokong oleh Gabungan Parti Sarawak.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar bahawa Muafakat Nasional Selangor telah menyelesai­kan 90 peratus agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mohamed Azmin berkata isu tersebut belum dibincangk­an bersama PN.

“Saya telah dimaklumka­n perkara ini, tetapi perbincang­an ini dibuat pada tahun lepas sebelum ada PN, tidak mengapalah, sebelum ada PN mereka bincang dengan MN (Muafakat Nasional). Itu benda yang logik, sekarang sudah ada PN kita kena bincang secara bersama, belum ada pilihan raya, tak bincanglah, pilihan raya lambat lagi,” katanya.

Ditanya mengenai surat tuntutan RM10 juta daripada PKR, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata beliau tidak akan melayani tuntutan berkenaan.

“Untuk apa? Kenapa saya perlu bayar mereka (PKR) RM10 juta? Jika saya ada duit sekalipun, saya akan serah (wang itu) kepada rakyat, saya tidak akan serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” kata Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Sebelum ini, dilaporkan Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata parti itu akan mengeluark­an surat tuntutan kepada 19 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang keluar parti, menuntut mereka membayar RM10 juta masing-masing kepada PKR.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia