Utusan Borneo (Sabah)

Sapok julang maruah negara

-

KUCHING: Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, telah melonjakka­n nama Sapok Biki, 46, serta sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap sahaja.

Walaupun pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsun­g, nama beliau agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang betul-betul mengikuti sukan tinju.

"Pada masa itu, saya tidak berapa menyerlah. Mungkin disebabkan sukan tinju ini adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air tetapi selepas Sukan Komanwel (ia mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut," katanya kepada Bernama.

Sapok mula berkecimpu­ng dalam sukan tinju pada 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet dalam Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental, beliau telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

"Saya sebagai bekas atlet, di mana kita dapat menjalanka­n aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan," katanya.

Sapok berkata usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah oleh kuasa asing.

"Kita tengok kejayaan atlet-alet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, dia boleh sampai ke tahap tertinggi. Ini adalah kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbira­n stabil, jadi semua orang seperti atlet ini boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai," jelasnya.

Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status sosial mereka harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaa­n yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu telah melakukan pengorbana­n amat besar untuk memperoleh­inya.

Tambah Sapok, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di negara ini juga perlu diperhalus­i dan dihayati agar kesepaduan dan kebersamaa­n yang wujud dalam masyarat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuh­kan lagi.

"Setiap prinsip yang terdapat dalam rukun negara itu mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya kita pastinya akan merasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia," ujarnya.

Sebagai seorang pegawai tentera masih dalam perkhidmat­an, beliau berkata perjuangan dalam mempertaha­nkan sebuah kebebasan merupakan sebuah perjuangan tidak pernah selesai.

Justeru, Sapok menasihatk­an generasi muda harus didedahkan dengan lebih banyak material mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan mereka miliki itu bukan sesuatu diperolehi secara percuma.

 ??  ?? KENANGAN GAWAI: Gambar fail menunjukka­n Sapok bersama isteri dan anak memakai baju tertera ‘Selamat Hari Gawai’ di kediaman mereka di Taman Uni Garden, Kota Samarahan.
KENANGAN GAWAI: Gambar fail menunjukka­n Sapok bersama isteri dan anak memakai baju tertera ‘Selamat Hari Gawai’ di kediaman mereka di Taman Uni Garden, Kota Samarahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia