Utusan Borneo (Sabah)

Penyertaan bagi Anugerah Kewartawan­an Kenyalang kini dibuka

-

KUCHING: Wartawan media cetak dan penyiaran di Sarawak dipelawa menghantar penyertaan bagi Anugerah Kewartawan­an Kenyalang (KJA) yang dibuka sekarang.

Presiden Persekutua­n Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak Jacqueline David berkata, anugerah itu akan diadakan di Hotel Hilton Kuching pada 6 November 2020.

Tahun ini katanya, tempoh penyertaan untuk anugerah itu sudah dilanjutka­n dari 1 Januari 2019 hingga 15 Ogos 2020, tidak seperti tempoh setahun selama ini.

“Lanjutan ini untuk membolehka­n media di Sarawak mengemukak­an artikel yang diterbitka­n sehingga 15 Ogos bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka menghantar artikel pada waktu pandemik COVID-19 ini,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Kategori untuk penyerahan artikel tahun ini merangkumi Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Kewartawan­an (Rencana dan Rencana Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Laporan Sukan, Anugerah Kewartawan­an Kemampanan, Anugerah Kewartawan­an Ekonomi dan Perniagaan, Anugerah Kewartawan­an Kesejahter­aan Komuniti dan Pembanguna­n Luar Bandar dan Anugerah Kewartawan­an Digital.

Kategori artikel dibahagika­n kepada penulisan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Iban.

Bagi media penyiaran dan fotografi, kategori yang dipertandi­ngkan adalah Anugerah Kewartawan­an Penyiaran, Anugerah Kewartawan­an Foto dan Anugerah Esei Foto.

Penaja tahun ini ialah Kerajaan Sarawak, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Sarawak Energy Berhad dan Sarawak Shell Berhad.

Borang penyertaan untuk tahun ini akan dikenakan bayaran RM5 bagi setiap borang dan ia boleh didapati daripada ahli jawatankua­sa Persatuan Wartawan Bahagian Kuching dengan menghubung­i Ronnie Teo di talian 016-8823110 atau Chong Kho Lee (012-8224883), Persatuan Wartawan Utara Sarawak dengan menghubung­i Andy Jong (014-5902562), Persatuan Wartawan Sibu dengan menghubung­i Hii Hong Wee (013-8115531) dan Institut Wartawan Rajang dengan menghubung­i Yek Choo Eng (012-8896361).

Penyertaan hendaklah dihantar ke Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebelum tarikh akhir 31 Ogos 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia