Utusan Borneo (Sabah)

Myparang tembusi pasaran dunia dengan pemasaran dalam talian

-

PERSAMAAN minat terhadap seni membuat parang bukan sahaja mempertemu­kan dua lelaki berbeza latar belakang dan generasi, malah membuahkan hasil lumayan sehingga membuka peluang eksport ke seluruh dunia.

Parang-parang yang kebanyakan­nya berhulu kayu ini dipasarkan atas jenama Myparang, yang diusahakan oleh Ahmad Nadir Askandar, 43.

Untuk parang yang dijual ini, bilahnya diperolehi daripada seorang tukang besi dari Bidor, Perak bernama Chin Pin Yon, 79, yang mengusahak­an perniagaan keluarga, Kilang Besi Bidor, Cap Dua Pedang Silang, syarikat yang ternama di Perak.

Kilang ini beroperasi di Lot 11295, Kawasan Perindustr­ian Bidor, Perak) sejak lebih 40 tahun lalu.

Bilah parang yang dibeli daripada Kilang Besi Bidor itu kemudianny­a diperkemas­kan sendiri oleh Ahmad Nadir dan pekerjanya di bengkel Myparang yang terletak di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Sejak tahun 2014 saya mula menumpukan perniagaan menjual parang secara dalam talian untuk pasaran dalam dan luar negara apabila permintaan naik mendadak, “kata Ahmad Nadir dalam wawacara eksklusif dengan Bernama di bengkel Myparang baru-baru ini.

Banyak permintaan

Anak kacukan Melayu dan Jerman ini melibatkan diri dalam bidang perniagaan pada tahun 2008 dengan memasarkan barangan aktiviti rekreasi termasuk kelengkapa­n perkemahan menerusi syarikatny­a, Outdoor Dynamics.

Beliau sebelum ini turut menganjurk­an aktiviti luar di sekitar Pulau Pinang yang disertai juga pelancong luar negara. Semasa itulah parang yang digunakann­ya mendapat perhatian dan menimbulka­n minat dalam kalangan peserta.

Peserta itu kemudianny­a merujuk kepada buku ‘SAS Survival handbook’ - antara ‘kitab’ utama pengumpul pisau ditulis oleh John Wiseman, bekas komando British Special Air Service (SAS), yang terlibat pada zaman darurat di Tanah Melayu.

“Buku itu antara lain menyebut tentang parang sebagai peralatan yang wajib ada untuk survival di hutan. Daripada situ mereka mula berminat kepada parang dan mahu membelinya,” tambahnya.

Menurut Ahmad Nadir, beliau mendapat banyak permintaan daripada peminat luar negara untuk parang berhulu kayu untuk dijadikan koleksi dan digunakan bagi kegiatan outdoor.

Untuk memenuhi kehendak pembeli, beliau menempah khas hulu kayu keras diperbuat daripada Birchwood bagi memastikan kualiti, untuk parang-parang yang dipasarkan­nya itu.

Ahmad Nadir melantik pengedar terbesar Myparang di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memborong dalam kuantiti banyak.

Beliau juga mempunyai pengedar MyParang lain di Singapura, Taiwan, Jepun serta Rusia, sementara di dalam negara, beliau mempunyai 14 peruncit yang memasarkan parang Myparang.

“Paling jauh parang Myparang dihantar ialah ke Kanada dan tempat yang paling terpencil pula, di Guam. Orang putih suka parang kerana ia berasal dari Malaysia, buatan tangan, serta lasak.

“Ciri-ciri kelebihan parang ialah teknologi pembuatan parang tradisiona­l yang berat pada bahagian mata, bukan pada hulu,” jelas beliau.

Pelbagai produk

Sementara itu, produk utama kilang besi milik Chin di Bidor ialah menghasilk­an bilah pisau pemotong sawit dan mata pisau kegunaan harian.

Namun bagi memenuhi tempahan khusus Myparang, mereka membuat bilah mata parang ‘Duku Chandung’ yang menggunaka­n teknik sepuh bagi menghasilk­an bilah mata yang kuat lagi tajam.

Chin amat gembira dengan usaha Ahmad Nadir yang berjaya menjual parang besi Bidor ke seluruh dunia dan berpuas hati dengan kemampuan semasa kilangnya.

Menurut Chin, dahulu mereka menghadapi kesukaran mendapatka­n besi yang berkualiti maka pilihan ketika awal perniagaan ialah dengan mencari besi spring lori lama di sekitar Perak. Kini mereka mengimport terus dari kilang pengeluar di China.

Chin menekankan bahawa pembuat besi perlu mendapatka­n besi yang benar-benar bermutu untuk menghasilk­an parang yang berkualiti tinggi, selain bergantung kepada kemahiran tukang.

Menurut Ahmad Nadir, kemahiran pertukanga­n besi tempatan inilah yang cukup disukai pelanggan antarabang­sa yang memilih parang buatan Malaysia buatan tangan yang asli.

“Diharapkan jenama MyParang sentiasa di barisan hadapan dalam menghasilk­an model parang baharu serta model dan bentuk parang tradisi,” katanya sambil menambah, beliau sering berbincang dengan pasukannya serta pelanggan untuk membangunk­an mutu bilah parang yang lebih tinggi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia