Utusan Borneo (Sabah)

131 rakyat Malaysia terkandas di Yaman tiba di tanah air

-

PUTRAJAYA: Kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 131 orang yang dilaporkan terkandas di Yaman sejak Mac lepas susulan pandemik COVID-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat sewaan khas Egypt Air pada jam 8.34 pagi semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kumpulan kedua seramai 17 orang pula dijadual tiba hari ini (3 Ogos) dengan penerbanga­n komersial Emirates pada jam 12.55 pagi.

Beliau berkata perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia tersebut bermula kelmarin (1 Ogos) dengan penerbanga­n dari Seiyoun, Yaman ke Kaherah, Mesir sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbanga­n berasingan ke Malaysia.

“Rakyat Malaysia dari Yaman ini terdiri daripada pelajar persendiri­an yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik COVID-19, serta pelajar yang telah tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementeria­n Luar, berkata sebelum ini beberapa rancangan repatriasi oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar tersebut terpaksa ditunda atas sebab isu-isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

“Namun demikian, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambung­an operasi penerbanga­n komersial oleh kerajaan Yaman membolehka­n penerbanga­n sewaan khas repatriasi ini dilaksanak­an. Kos repatriasi ini dibiayai secara bersama antara kerajaan Malaysia dengan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampu­an,” katanya.

Beliau berkata kesemua rakyat Malaysia yang tiba akan menjalani ujian saringan COVID-19 setibanya di KLIA dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pemantauan lanjut.

Ia adalah susulan lanjutan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lepas mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, katanya.

Kamarudin berkata Wisma Putra merakamkan penghargaa­n kepada kerajaan Yaman dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia itu ke tanah air serta kerajaan Mesir di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia tersebut.

Beliau menegaskan Wisma Putra melalui Perwakilan­Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasam­a dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia