Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki warga tempatan ditemukan mati dipercayai dibunuh

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan mati di rumahnya dengan kesan torehan di kepala, dipercayai mati dibunuh rakan serumahnya di Taman Senai Jaya, Senai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa berusia 55 tahun itu menerusi panggilan telefon daripada pihak Hospital Temenggong

Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, yang terlebih dahulu dimaklumka­n mengenai penemuan mayat berkenaan oleh orang awam, kira-kira jam 8.30 pagi.

Sejurus selepas mendapat panggilan itu, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kecederaan dengan kesan torehan di kepala, selain itu terdapat juga lebam di sebelah kiri kepala dan kesan lebam di bahagian mata sebelah kiri.

“Pihak polis turut menemukan satu pisau lipat yang terselit antara ibu jari dengan jari telunjuk tangan kiri mangsa. Kami juga menemukan satu kayu berbentuk bulat dipercayai kepala katil yang mempunyai kesan darah dalam longkang belakang rumah mangsa,” katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Menurut Tok, mayat mangsa kemudianny­a dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan rakan serumah mangsa iaitu lelaki warga tempatan berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek ditahan pada jam 11.15 pagi di Jalan Senai Jaya 6, Taman Senai Jaya dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia