Utusan Borneo (Sabah)

Kurang 20% kawasan di Malaysia punyai capaian Internet lemah

-

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumka­n kurang 20 peratus kawasan di negara ini mempunyai capaian Internet yang amat lemah.

Bagaimanap­un, beliau berkata terdapat kawasan yang mengalami gangguan capaian Internet akibat perbuatan jenayah dan vandalisme.

“Dahulunya ada liputan di kawasan ini, tetapi tiba-tiba hilang kerana terdapat pihak tertentu yang mengorek gentian optik, mereka mencuri tembaga atau genset (jana kuasa bergerak) di sesetengah menara komunikasi.

“Masalah ini juga kita sedang atasi selain menambah capaian jalur lebar,” katanya ketika sesi soal jawab persidanga­n Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) mengenai jumlah kawasan yang mempunyai capaian Internet yang amat lemah di negara ini.

Menjawab soalan asal Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai langkah mengatasi masalah status liputan Internet di luar bandar, Zahidi berkata pembinaan menara komunikasi dan menaik taraf alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmat­an 3G dan 4G telah dan sedang giat dilaksanak­an di seluruh negara untuk memperluas perkhidmat­an jalur lebar mudah alih.

Beliau berkata sebanyak 2,360 menara komunikasi telah siap dibina dan 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaa­n sehingga Jun lepas.

Sejumlah 5,348 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmat­an 3G dan 4G, dan 11 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaa­n, katanya.

“Bagi perkhidmat­an jalur lebar talian tetap pula, pihak kerajaan telah melaksanak­an projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediaka­n kemudahan jalur lebar berkelajua­n tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sehingga Jun lalu, 639,676 sambungan telah tersedia, manakala 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaa­n yang dijangka siap secara berperingk­at pada tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia