Utusan Borneo (Sabah)

Hafarizam dilepas tanpa dibebaskan kes pengubahan wang haram RM15 juta

-

KUALA LUMPUR: Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun, dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memberitah­u mahkamah pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan dan akan memfailkan pertuduhan baharu terhadap Mohd Hafarizam di Mahkamah Sesyen.

“Selepas mendengar permohonan lisan oleh pihak pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap tertuduh dalam kes ini, mahkamah dengan ini memerintah­kan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan yang dijalankan di mahkamah ini.

“Ini bagi membolehka­n pendakwaan memfailkan pertuduhan baharu terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan. Permohonan bagi saya menarik diri (daripada mendengar kes ini) direkodkan sebagai ditarik balik oleh pihak pembelaan,” kata hakim.

Terdahulu, Ishak memaklumka­n kepada mahkamah bahawa pertuduhan pertama adalah cacat kerana ia melibatkan dua transaksi pada April dan November 2014.

“Kami harus pisahkan dua transaksi itu kepada pertuduhan baharu. Jadi, kami memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan bagi keduadua pertuduhan dan dia akan didakwa dengan segera di mahkamah rendah hari ini dengan pertuduhan yang berbeza,” tambah beliau.

Mohd Hafarizam yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berkata pihak pembelaan akan menarik kembali permohonan mereka supaya hakim menarik diri yang telah dibuat lebih awal, kerana ia telah menjadi akademik.

Semalam sepatutnya hari pertama perbicaraa­n kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Pada 21 Februari tahun lepas, Mohd Hafarizam, 48, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didepositk­an ke dalam akaun bank milik firma guamannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabka­n hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 November 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3.5 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau kesalahan itu, atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia