Utusan Borneo (Sabah)

Penyamaran anggota ATM, berjaya tahan tiga tekong

-

KUALA LUMPUR: Strategi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyamar sebagai antara sekumpulan pendatang tanpa izin, membawa kepada penahanan dua tekong laut warga Indonesia dan seorang tekong darat warga tempatan, di Persisiran Pantai Punggai, Bandar Penawar, Johor, kelmarin.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam satu kenyataan semalam memaklumka­n, anggota ATM berkenaan menyamar sebagai sebahagian daripada enam pendatang haram yang sedang menunggu bot, dipercayai untuk membawa mereka keluar dari negara ini.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) yang sedang melaksanak­an Ops Benteng bertindak menyusup bersama kumpulan migran berkenaan ketika sebuah bot menghampir­i pesisir pantai berkenaan.

“Hasil maklumat daripada tangkapan itu, Kumpulan QRF seramai lima orang telah menyusup bersama sekumpulan PATI bagi merapati kedudukan sebuah bot yang menghampir­i pesisir pantai,” menurut kenyataan itu.

Tekong dan kesemua pendatang tanpa izin lelaki yang ditahan itu berumur antara 25 hingga 52 tahun.

Dalam Ops Benteng berkenaan ATM turut merampas sebuah bot berserta enjin Yamaha 200 kuasa kuda, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,404 dan IDR 4 juta Rupiah (RM1,152) yang kesemuanya bernilai RM147,344.

Kesemua individu yang ditahan itu diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19.

Menurut kenyataan itu, maklumat turut disalurkan ke bilik gerakan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) di KD Sultan Ismail (KDSI) untuk pemantauan lanjut di perairan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia