Utusan Borneo (Sabah)

Nelayan terima ancaman gengster diminta lapor polis

-

IPOH: Mana-mana nelayan darat yang menerima ancaman kumpulan gengster yang didakwa menjaga kawasan bekas-bekas lombong di Perak diminta membuat laporan polis, kata Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada nelayan berhubung ancaman daripada golongan itu seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan semalam.

“Pihak polis tidak menerima apa-apa laporan namun saya akan meminta pihak Jabatan Siasatan Jenayah untuk menjalanka­n siasatan setelah mendapatka­n maklumat lanjut.

“Kita minta sesiapa yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar tempatan yang mendakwa berpuluhpu­luh bekas lombong di Perak diceroboh secara haram untuk tujuan pertanian dan penternaka­n sehingga mengancam sumber pendapatan nelayan air tawar yang bergantung hidup mencari rezeki dengan menangkap ikan di kawasan itu.

Pengusaha haram itu juga dilaporkan mengupah kumpulan gengster untuk menjaga kawasan bekas lombong berkenaan daripada dimasuki orang ramai antaranya di Daerah Kampar, Batang Padang dan Perak Tengah, sehingga menyebabka­n pendapatan nelayan semakin berkuranga­n.

Selain itu, terdapat nelayan di Daerah Perak Tengah yang mendakwa pernah bergaduh dan ditampar oleh sekumpulan individu tidak dikenali, yang bertindak sebagai penjaga kawasan itu selain peralatan menangkap ikan dan bot turut dirosakkan.

Laporan akhbar tempatan itu turut menyebut isu penceroboh­an kawasan bekas lombong bukan perkara baharu dan pernah dibangkitk­an nelayan di kawasan Kampar dalam sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah Datuk Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi pada 2014.

Razarudin berkata polis akan menjalanka­n siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya dakwaan ancaman keselamata­n nelayan-nelayan itu didapati benar berlaku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia