Utusan Borneo (Sabah)

Dua kes positif COVID-19, tiada kematian direkodkan semalam

-

PUTRAJAYA: Dua kes positif COVID-19 dilaporkan semalam, iaitu kes penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya kes berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes positif Malaysia 9,001 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan COVID-19 sebanyak 208 kes.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan hari ini (semalam). Perincian kes penularan di dalam negara COVID-19 adalah di Kedah satu kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan di Wilayah Persekutua­n Labuan satu kes iaitu saringan rawak di lapangan berkaitan pelajar kolej,” katanya pada sidang media perkembang­an terkini COVID-19 di sini.

Katanya terdapat empat kes COVID-19 yang telah pulih semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya berjumlah 8,668 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes).

Memperinci­kan kes indeks Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan kes import dengan kes indeks merupakan seorang pemilik kedai makan pulang ke Malaysia dari India dan didapati gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatia­n di Rumah (HSO).

Katanya ketidakpat­uhan itu menyebabka­n penularan jangkitan COVID-19 meluas dalam kluster itu. Setakat hari ini, 425 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 21 kes dikesan positif COVID-19, 362 negatif dan 42 kes masih menunggu keputusan.

“Penularan tersebut turut dikenal pasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh kerajaan. Namun begitu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi cabaran dalam menjalanka­n sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunaka­n aplikasi MySejahter­a,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes baharu kluster itu telah dilaporkan semalam melibatkan kes ke-9,000 yang merupakan seorang pelanggan tetap kedai makan tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pesakit menjalani saringan COVID19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif.

Pada 31 Julai, pesakit mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubung­i Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

“Hanya satu hari kemudianny­a, iaitu selepas penglibata­n dalam aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes (ke-9,000) memaklumka­n bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunaka­n ujian RT-PCR dan kes didapati positif COVID-19.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya.

Mengambil iktibar daripada kes ini, Dr Noor Hisham berkata KKM mengingatk­an masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiaka­n sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes positif COVID-19 atau maklumat berkaitan daripada pihak berkuasa.

Tegasnya orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan

 ?? — Gambar Bernama ?? POSITIF SATU ANGKA: Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementeria­n Kesihatan di Putrajaya, semalam.
— Gambar Bernama POSITIF SATU ANGKA: Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementeria­n Kesihatan di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia