Utusan Borneo (Sabah)

Brentford, Fulham memburu slot terakhir ke Liga Perdana Inggeris

-

LONDON: Brentford dan Fulham akan memburu slot terakhir ke Liga Perdana Inggeris hari ini apabila dua kelab dari ibu kota London itu bermain di final playoff Liga Kejuaraan, dengan satu ganjaran bernilai sekitar 170 juta pound menanti pemenang.

Ganjaran untuk kenaikan ke Liga Perdana Inggeris itu bermakna perlawanan akhir di Stadium Wembley ini sering digelar perlawanan paling mewah dalam dunia bola sepak.

Selepas 73 tahun berada di luar liga elit, Brentford kurang satu kemenangan untuk mencipta kejutan berada di kalangan kelab-kelab elit bola sepak Inggeris.

Berbeza dengan Fulham, mereka mengintai peluang untuk kembali semula dengan segera ke Liga Perdana selepas tersingkir pada musim lepas. Namun pengembara­an Brentford lebih menarik perhatian peminat berkecuali bola sepak.

Selepas menghabisk­an 59 dari 60 musim mereka dalam divisyen ketiga atau keempat sebelum naik ke Liga Kejuaraan pada 2014, Brentford mengatasi status tradisi mereka dengan tindakan inovatif pemilik kelab, Matthew Benham. Benham memperkena­lkan pendekatan dengan pengaruh analisis yang diselia oleh dua pengarah teknikal bola sepak, memastikan kelab mengguna pakai sepenuh sumber yang mereka ada, yang jauh lebih rendah berbanding kelab kaya lain dalam Liga Kejuaraan. Ia terbukti satu formula berjaya apabila Brentford mengesan bakat luar biasa seperti Neal Maupay, Ezri Konsa, Chris Mepham dan Jota sebelum menjual mereka untuk mendapat keuntungan besar. Ollie Watkins, Said Benrahma dan Bryan Mbeumo adalah antara bintang terbaharu dalam penghasila­n pemain di kelab.

Ketiga-tiga pemain itu membawa Brentford hampir ke kelayakan automatik ke Liga Perdana bulan lepas sebelum dua kekalahan berturut-turut kepada Stoke dan Barnsley memaksa mereka terpaksa akur menamatkan musim di tangga ketiga dan bermain dalam playoff kelayakan terakhir.

Kemenangan bergaya 31 ke atas Swansea pada perlawanan separuh akhir kedua, selepas tewas 0-1 pada perlawanan pertama, menunjukka­n kualiti yang dibimbing oleh jurulatih dari Denmark, Thomas Frank.

Falsafah pembinaan pasukan oleh Frank adalah dari inspirasi pasukan ragbi New Zealand, All Blacks sementara kesediaan beliau untuk berfikir di luar kotak telah menyaksika­n beliau menggunaka­n pendekatan “taktik berpasukan dan pembanguna­n pemain secara individu”.

Memenangi kenaikan liga adalah satu cara yang sempurna untuk mengucap selamat jalan kepada Stadium Griffin Park - gelanggang keramat Brentford sejak 1904 – ketika mereka membuat persediaan untuk berpindah ke stadium baru pada musim hadapan.

Brentford menewaskan Fulham 1-0 dan 2-0 pada awal musim dan kapten pasukan, Pontus Jansson menyedari apa maknanya untuk meraih kemenangan ketiga.

“Ia agak mendebarka­n, untuk kelab ia bermakna segala-galanya,” kata Jansson. “Ini adalah apa yang kami usahakan sebagai sebuah kelab sejak bertahun-tahun, terutama sekali tahum ini.

“Kami tahu impak kewangan bermain dalam Liga Perdana, ia adalah salah satu ganjaran terbesar, jika tidak terbesar di dunia.

“Ia satu impian menjadi kenyataan untuk beraksi dalam Liga Perdana.”

Fulham sememangny­a berminat untuk memusnahka­n harapan Brentford tetapi peluang mereka untuk kembali ke Liga Perdana terjejas jika penyerangn­ya, Aleksandar Mitrovic gagal pulih sepenuhnya dari kecederaan.

Mitrovic, penjaring terbanyak liga musim ini dengan 26 gol, tidak beraksi ketika Fulham menewaskan Cardiff 3-2 secara agregat di peringkat separuh akhir.

Pengurus Fulham, Scott Parker, bersikap yakin tetapi tidak pasti tentang peluang Mitrovic beraksi di Wembley.

“Saya berharap beliau dalam bermain pada perlawanan kedua (menentang Cardiff),” kata Parker. “Kami berusaha, pasukan perubatan melakukan segala-galanya tetapi beliau masih belum bersedia. Ia terlalu berisiko untuk menurunkan­nya ketika itu.

“Beliau masih mempunyai beberapa hari lagi dan kami akan melakukan segala-gala yang kami mampu untuk memastikan beliau dapat diturunkan,” kata Parker selepas kemenangan ke atas Cardiff minggu lepas.

 ??  ?? THOMAS FRANK
THOMAS FRANK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia