Utusan Borneo (Sabah)

Polis laksana persiapan penugasan menjelang PRN

- Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA KINABALU: Polis sedang melaksanak­an persiapan dari segi penugasan pegawai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pesuruhjay­a Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, tindakan itu penting berikutan berlakunya pertambaha­n kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 73 kerusi berbanding hanya 60 sebelum ini.

“Dijangkaka­n dengan pertambaha­n kerusi terbabit jumlah pengundi turut bertambah dan berkemungk­inan wujudnya pusat pembuangan undi baharu atau pertambaha­n saluran mengundi... apapun kita tengah tunggu keputusan daripada Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

“Kita akan laksanakan apa yang diputuskan oleh SPR dan seterusnya berapakah saluran mengundi yang akan dibuka untuk setiap pusat mengundi kerana itu akan menentukan bilangan pegawai yang bertugas pada hari pembuangan undi nanti,” katanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang mengatur persiapan khusus, keperluan logistik dan sebagainya termasuk penugasan jumlah pegawai berikutan ianya tertakluk kepada bilangan pusat pembuangan undi dan saluran mengundi yang ditetapkan.

“Di era Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini kita difahamkan akan ada perubahan terhadap bilangan pengundi di saluran mengundi iaitu jika pusat mengundi kecil maka bilangan pengundi juga akan dikurangka­n.

“Bilangan pegawai yang akan ditugaskan turut berubah contohnya jika sebelum ini seorang pegawai akan ditempatka­n di sebuah saluran mengundi kini bilangan itu turut berubah dengan adanya penambahan saluran berkenaan.

“Apapun dari pihak kita, persiapan dan perancanga­n sudah dilaksanak­an, untuk keputusan akhir bagi penugasan anggota akan bergantung kepada keputusan SPR,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu termasukla­h sama ada Sabah akan mendapatka­n bantuan pegawai daripada luar atau sebaliknya.

Tambahnya, pihaknya juga akan menggerakk­an semua elemen kepolisan yang ada termasukla­h Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta PULAPOL.

Sementara itu semasa ditanya berkenaan isu pergolakan politik yang melanda negeri ini baru-baru ini, Zaini berkata pihaknya tidak ada menerima sebarang laporan polis berkenaan kejadian dan keadaan di Sabah terutama ibu negeri adalah aman dan terkawal.

“Sepertiman­a yang kita lihat Kota Kinabalu aman damai dan saya nasihatkan masyarakat agar tidak melakukan sesuatu di luar batas undang-undang bagi memastikan perjalanan PRN lancar dan teratur.

“Polis juga akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya semasa PRN berikutan penugasan seumpama sudah dijalankan sebelum ini dan ia tidaklah terlalu janggal kepada pasukan kita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia