Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19: Victoria paling teruk terjejas di Australia

-

MELBOURNE: Negeri Victoria yang paling teruk terjejas di Australia melaporkan 15 kematian akibat COVID-19 semalam, termasuk seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an, menjadikan­nya hari terburuk di negara itu bagi pandemik itu setakat ini.

Wabak di Melbourne, bandar raya kedua terbesar di Australia dan ibu negeri Victoria, sudah menyaksika­n ratusan kes baharu direkodkan setiap hari sejak beberapa minggu lepas, termasuk 725 semalam.

Wabak terus meningkat walaupun Melbourne sudah melaksanak­an arahan duduk di rumah hampir selama sebulan.

Ketua Menteri Victoria Daniel Andrews memberitah­u satu sidang akhbar bahawa kematian terbaharu termasuk seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an manakala 12 kematian lain yang ada kaitan dengan pusat penjagaan warga emas.

Virus sudah menular dengan cepat di pusat penjagaan di bandar raya itu, dengan hampir 1,500 jangkitan aktif yang kini dikaitkan dengan kemudahan itu.

Pihak berkuasa melaksanak­an perintah berkurung pada waktu malam di Melbourne bermula Isnin lepas, menutup perniagaan yang tidak perlu dan tidak penting selain mengarahka­n pemakaian pelitup separuh muka yang mandatori sementara pihak berkuasa cuba mengawal wabak.

Andrews berkata semua pembedahan kecuali pembedahan elektif paling segera kini akan ditunda “sehingga diberitahu selanjutny­a” untuk mengurangk­an tekanan ke atas hospital. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia