Utusan Borneo (Sabah)

Pegawai agensi penguatkua­saan diugut penyeludup migran

-

JOHOR BAHRU: Polis Johor semalam mendedahka­n seorang pegawai agensi pengkuatku­asaan negeri ini, diugut oleh tiga lelaki supaya tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot yang mendarat di Pantai Timur Johor untuk membawa masuk migran ke negara ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ketiga-tiga suspek itu yang merupakan lelaki warga tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludup­an migran, rokok dan arak kontraban.

Katanya, satu kertas siasatan kini telah dibuka untuk menyiasat perkara itu bagi membolehka­n tindakan diambil terhadap kesemua suspek.

“Suspek mengugut dan memberi amaran kepada pegawai berkenaan, sekiranya tindakan diambil mungkin akan berlaku aksi tembak-menembak dan sebagainya.

“Kami telah kenal pasti suspek dan akan ditangkap dalam masa terdekat. Gengster atau penyeludup ini jangan diberi ruang untuk menjalanka­n operasi atau ugutan. Ini bukan negara asing, ini Malaysia dan di Johor, saya tidak akan bertolak ansur,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan orang awam di Sungai Tiram di Ulu Tiram dan Sungai Rengit di Kota Tinggi yang khuatir akan keselamata­n mereka berikutan wujudnya jalan tikus untuk penyeludup­an migran di kawasan mereka.

“Saya rasa (orang awam) tidak perlu bimbang. Sebarang maklumat dan ugutan terus salur kepada pihak polis dan kami akan ambil tindakan.

“Isu penyeludup­an sama ada pendatang tanpa izin atau kontraban rokok dan arak bukanlah perkara baru di Pantai Timur Johor. Malah ada juga orang kampung yang bersekongk­ol, tetapi saya yakin majoriti masyarakat sekarang telah sedar dan banyak salur maklumat kepada pihak polis ataupun tentera... banyak kejayaan juga yang telah dicapai hasil maklumat oleh orang kampung sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas kes perjudian di negeri ini, Ayob Khan berkata setakat Julai lepas sahaja, pihaknya telah melakukan 244 serbuan premis yang berhasil menahan 343 suspek menerusi Ops Dadu.

Katanya, turut dirampas sepanjang tempoh itu adalah 193 telefon bimbit, enam komputer, 32 komputer riba dan wang tunai berjumlah RM46,794. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia