Utusan Borneo (Sabah)

Sekurang-kurangnya 14 terkorban di selatan AS angkara Laura

-

LAKE CHARLES: Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban selepas Taufan Laura membadai wilayah selatan Amerika Syarikat (AS) di Louisiana dan Texas, kata pihak berkuasa dan media tempatan kelmarin.

Gabenor Louisiana John Bel Edwards mengesahka­n sekurang-kurangnya 10 orang maut di negerinya, separuh kerana menggunaka­n mesin penjana mudah alih dalam rumah yang menghasilk­an karbon monoksida sejurus selepas ribut melanda pada Khamis lepas.

Empat kematian lain berpunca dari pokok yang tumbang dan menghempap rumah penduduk, kata Edwards, sementara seorang lelaki lemas selepas botnya karam akibat serangan ribut.

Terdapat 464,813 pengguna tanpa bekalan elektrik di Louisiana kelmarin, menurut laman Poweroutag­e.us.

Texas akhirnya terlepas dari kesan teruk taufan, yang mulai lemah dengan ketara. Tiga daripada empat kematian di negeri ini turut dilaporkan berpunca dari keracunan karbon monoksida yang dihasilkan oleh mesin penjana.

Kesemua mangsa, dipercayai sebagai gelandanga­n, mencari tempat perlindung­an di sebuah dewan kolam di pekan tenggara Port Arthur dan membawa masuk mesin penjana ke dalam, menurut Beaumont Enterprise.

Media tempatan melaporkan pada pagi kelmarin bahawa seorang lelaki meninggal dunia di Texas Timur, walaupun ia masih belum disahkan dia adalah mangsa secara langsung dalam serangan taufan.

Cabang CBS di Texas Timur melaporkan lelaki itu terbunuh apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap kediaman bergerakny­a di Hemphill.

Pada awal kelmarin, perkhidmat­an perlindung­an awam Haiti mengesahka­n 31 orang maut akibat Taufan Laura, yang membadai negara pulau tersebut sebagai ribut tropika pada hujung minggu lepas sebelum bertukar menjadi hurikan Kategori 4 yang sangat kuat. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia