Utusan Borneo (Sabah)

Perompak larikan sembilan juta euro dari Bank Perancis

-

LYON: Sekumpulan perompak melarikan diri bersama wang tunai sebanyak sembilan juta euro di bandar Lyon di tenggara Perancis kelmarin dalam satu serbuan bersenjata ke atas sebuah kenderaan sekuriti berperisai, kata pendakwa raya.

Rompakan itu dipercayai sebagai yang paling besar dalam rompakan wang tunai di Perancis sejak perompak berbahaya Toni Musulin pada 2009 melarikan sebanyak 11.6 juta euro, kebanyakan­nya ditemui semula kemudian.

Kenderaan itu diserang pada sekitar jam 9 pagi waktu tempatan oleh beberapa individu bersenjata ketika ia keluar dari sebuah cawangan Bank Perancis di Lyon.

Tidak ada orang tercedera dalam serbuan ke atas kenderaan yang dimiliki syarikat keselamata­n Loomis “tetapi kerugian berjumlah sembilan juta euro (RM45 juta)”, pendakwa raya menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP.

“Dalang berjaya melarikan diri serta-merta selepas melakukan perbuatan itu.”

Laporan tempatan menyebut dua van menghalang laluan kenderaan berperisai itu, satu di depan dan satu di belakang.

Perompak mengugut pemandu, merampas wang, dan lari dalam dua kenderaan yang kemudian dijumpai dibakar.

“Ia adalah satu serangan yang berani, betul-betul di pusat bandar raya,” kata ketua eksekutif Loomis, Michel Tresch, kepada AFP.

“Perkara paling penting ialah pengiring wang tunai selamat dan sihat,” tambahnya.

Tiga pekerja terbabit amat terkejut, kata anggota kesatuan sekerja Loomis, Kader Bengueche, yang menambah mereka akan berjumpa dengan seorang pakar psikologi pada Isnin.

Menurut dua rakan sekerja pasukan keselamata­n yang diserang – dua lelaki dan seorang wanita – masalah sudah beberapa kali berlaku dengan sistem kunci kenderaan keselamata­n.

Sementara kod keselamata­n sepatutnya ditukar bagi setiap penghantar­an, kenderaan yang diserang mempunyai “kod tetap” yang menjimatka­n masa bagi perompak, tambah rakan sekerja yang enggan dikenali.

“Jelas terdapat kesalahan pada pihak syarikat,” kata seorang daripada mereka kepada AFP, sambil menegaskan pemandu kenderaan yang diserang merupakan seorang bekas jurulatih tembak yang terlatih dalam “pemanduan defensif”.

Satu siasatan pantas dibuka oleh polis dan pakar wilayah.

Loomis, syarikat pengendali­an wang tunai dari Sweden, pernah diserang beberapa kali pada masa lalu.

Pada Mei 2017, barangan bernilai 35 juta euro (RM175 juta) – wang tunai, berlian dan jongkong emas – dicuri dari salah sebuah kenderaann­ya di Switzerlan­d.

Pada Disember 2016, pencuri mengambil 70 kilogram debu emas bernilai 2.5 juta euro (RM12.5 juta) dari syarikat yang sama berhampira­n Lyon.

Pada Mac tahun ini, seorang lagi perompak yang terkenal di Perancis, Redoine Faid, dijatuhi hukuman penjara selama 28 tahun bagi satu serangan dengan bahan letupan ke atas sebuah van Loomis di bandar utara Calais pada 2011.

Tetapi Tresch, ketua eksekutif Loomis, memberitah­u AFP bahawa berbanding pada zaman 2000-an, serangan fizikal adalah kurang sekarang.

“Ia adalah jauh lebih mudah untuk melancarka­n serangan (dalam Internet) menerusi penggodam, berbanding serangan ke atas kenderaan berperisai,” kata Tresch.

“Ia bukan pendedahan yang sama.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia