Utusan Borneo (Sabah)

Tiada masalah pengundi berseluar pendek, kata Pengerusi SPR

-

TANJUNG MALIM: Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata salah faham mungkin punca beberapa pengundi berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pembuangan undi semalam.

Ini kerana kata beliau berseluar pendek bukan satu kesalahan menurut peraturan SPR, sebaliknya larangan hanya terpakai kepada mereka yang berpakaian tidak sopan atau mencolok mata.

“… berseluar pendek ini pada saya masih kita benarkan. Kita harap mereka ini datang balik mengundi, jangan merajuk. Dari segi peraturan tiada masalah, mungkin ada tersalah dari segi pelaksanaa­n,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, di sini semalam.

Beliau mengulas satu insiden di sekolah itu pagi semalam apabila beberapa pengundi yang hadir berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pengundian dan sesetengah­nya pula dilihat mengoyakka­n kad pengundi yang diberikan SPR kerana marah.

Bernama difahamkan beberapa pengundi tersebut yang kembali ke pusat pengundian selepas dipujuk oleh ejen parti dibenarkan mengundi manakala yang lain pula datang semula dengan berseluar panjang.

Sementara itu, Abdul Ghani menasihati pengundi yang belum menunaikan tanggungja­wab agar datang bersendiri­an susulan ada segelintir yang turut membawa ahli keluarga.

Menurutnya tindakan itu hanya menyumbang kepada kesesakan di pusat pembuangan undi sedangkan negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau juga berkata SPR berharap dapat mencapai sasaran 85 peratus pemilih keluar mengundi pada

Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim itu.

Setakat 1 petang semalam, kira-kira 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa telah menjalanka­n tanggungja­wab mereka.

Beliau turut menyeru pemilih muda keluar mengundi berikutan pemerhatia­nnya mendapati saluran lima dan enam yang diperuntuk untuk golongan itu agak lengang.

PRK Dewan Undangan Negeri Slim menyaksika­n pertembung­an tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu S. Santharase­karan dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PROSES PENGUNDIAN: Abdul Ghani ketika sidang media selepas meninjau proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Tanjung Malim, semalam.
— Gambar Bernama PROSES PENGUNDIAN: Abdul Ghani ketika sidang media selepas meninjau proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Tanjung Malim, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia